am@hmetro.com.my
Seremban: Satu lagi peristiwa penting dalam sejarah lebuh raya Malaysia apabila buat pertama kalinya solat sunat Aidilfitri akan dilaksanakan di Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Seremban.
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam kenyataan berkata, penganjuran solat itu sudah mendapat kebenaran rasmi daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).
“Bersempena dengan sambutan Aidilfitri yang menjelang tiba, PLUS mengumumkan penganjuran Solat Sunat Aidilfitri di R&R Seremban (arah selatan) di Lebuhraya PLUS.
“Inisiatif ini adalah yang pertama seumpamanya diadakan di mana-mana lebuh raya di Malaysia, sekali gus melakar sejarah baharu selepas menjadi surau R&R lebuh raya pertama di Malaysia untuk menganjurkan solat fardu Jumaat tahun lalu,” katanya, hari ini.
Menurutnya, penganjuran solat itu bertujuan menyediakan kemudahan kerohanian kepada pengguna lebuh raya yang dalam perjalanan pulang ke kampung halaman sempena sambutan Aidilfitri dan juga pekerja yang bertugas di R&R itu.
“Pemilihan lokasi di R&R ini adalah berdasarkan kedudukannya yang strategik sebagai antara hentian utama dengan aliran trafik yang tinggi ke arah selatan, khususnya bagi pengguna yang pulang ke kampung halaman di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
“Selain itu, Surau MADANI di R&R ini dipilih kerana kapasiti yang lebih besar serta kemudahan lengkap dan selesa, sekali gus berupaya menampung kehadiran jemaah dalam jumlah yang ramai.
“Susun atur kawasan rehat serta kapasiti parkir yang mencukupi turut menyokong kelancaran pergerakan pengguna tanpa menjejaskan aliran trafik utama lebuh raya,” katanya.
Katanya, solat sunat Aidilfitri itu dijadualkan berlangsung di surau itu pada 1 Syawal, jam 8.30 pagi (tertakluk kepada pengumuman rasmi tarikh Aidilfitri).
“Inisiatif ini juga mengambil kira keperluan pemastautin dan petugas di kawasan R&R serta pengguna lebuh raya yang masih dalam perjalanan, supaya mereka dapat menunaikan ibadah tanpa perlu keluar dari lebuh raya,” katanya.
Melalui inisiatif itu, PLUS berharap dapat mengurangkan tekanan dan kesuntukan masa dalam kalangan pengguna lebuh raya pada pagi Aidilfitri, sekali gus membolehkan mereka berhenti seketika untuk beribadah dalam suasana lebih tenang, selesa dan teratur sebelum meneruskan perjalanan.
Dalam pada itu katanya, pengguna lebuh raya juga dinasihatkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan, mematuhi peraturan lalu-lintas serta mengamalkan sikap sabar dan bertimbang rasa ketika memandu demi kesejahteraan bersama.
© New Straits Times Press (M) Bhd



