syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Tiga tahun beraya sebagai yatim piatu. Kadang-kadang terasa seperti tidak nyata kerana selalu merasakan mereka masih ada.”
Demikian perkongsian menyentuh hati pelakon dan penyanyi, Liyana Jasmay, 38, mengenai kerinduan yang tidak berpenghujung terhadap kedua-dua ibu bapa tersayang terutamanya menjelang sambutan Aidilfitri.
Menerusi hantaran di Threads, pelakon filem Papadom itu meluahkan rasa hiba apabila kehidupannya kini sudah berubah selepas kehilangan insan paling bermakna dalam hidupnya.
“Kasih sayang tidak pernah terputus, cuma realitinya berbeza. Al-Fatihah buat mama dan babah… rindu kalian tanpa penghujung,” tulisnya.
Dalam hantaran yang sama, Liyana turut menitipkan pesanan buat masyarakat terutama peminat agar sentiasa menghargai kehadiran orang tua selagi mereka masih bernyawa.
“Kepada yang masih mempunyai ibu bapa, kalian sangat bertuah. Semoga kedua-dua ibu bapa kalian dipanjangkan umur dan hargailah mereka tanpa batasan,” tulisnya.
Perkongsian berkenaan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya memberikan kata-kata semangat serta mendoakan agar roh kedua-dua ibu bapa Liyana dicucuri rahmat.
Terdahulu, bapa Liyana, Datuk Jasmay Md Shah meninggal dunia pada Disember 2021 akibat kanser paru-paru, manakala ibunya, Datin Habsah Simpon menghembuskan nafas terakhir pada Mei 2023 akibat kanser limfoma.
© New Straits Times Press (M) Bhd




