Paris: Kylian Mbappe kembali mengetuai Perancis bagi aksi persahabatan menentang Brazil dan Colombia di Amerika Syarikat bulan ini.
Penyerang Real Madrid itu baru sahaja kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan lutut, termasuk tampil sebagai pemain gantian dalam aksi Liga Juara-Juara menentang Manchester City.
Mbappe yang juga kapten Les Bleus sebelum ini terlepas lima perlawanan bersama kelabnya, namun dijangka mengetuai jentera serangan dalam dua perlawanan itu.
Skuad kendalian Didier Deschamps turut menyenaraikan pemain serangan seperti Hugo Ekitike dan Rayan Cherki.
Penjaga gol Lucas Chevalier juga dipanggil walaupun kehilangan tempat dalam kesebelasan utama di Paris Saint-Germain.
Dua aksi persahabatan itu menjadi persiapan terakhir sebelum Deschamps mengumumkan skuad ke Piala Dunia pada 13 Mei.
Perancis diundi dalam Kumpulan I bersama Senegal, Norway serta satu lagi pasukan yang akan ditentukan menerusi playoff.
Kembalinya Mbappe dilihat sebagai suntikan besar buat Perancis dalam usaha memperkemaskan persiapan menjelang kejohanan utama itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




