Kuala Lumpur: Penyampai radio Kool FM, Datuk Aznil Nawawi menghadiahkan wang tunai RM3,000 kepada seorang pemanggil dikenali sebagai Amira bagi meringankan bebannya menjelang Aidilfitri, hari ini.
Tindakan spontan itu mengundang sebak dalam kalangan pendengar apabila wanita berkenaan tidak dapat menahan tangisan sebaik menerima bantuan terbabit.
Segmen yang turut menampilkan Haiza dan Muaz itu bertukar sayu apabila Amira meluahkan kesukaran hidup yang dihadapi bersama suami.
Menerusi panggilan telefon, Amira berkata, mereka buntu mencari wang bagi menyediakan duit raya untuk ibu, anak-anak serta sanak saudara.
Menurutnya, sebagai anak sulung, suaminya berasa bertanggungjawab untuk memberi kepada keluarga, namun keadaan kewangan yang tidak mencukupi menyebabkan mereka terpaksa mempertimbangkan untuk menggunakan duit raya anak-anak sendiri.
Memetik laporan BH Online, Aznil atau lebih mesra disapa Pak Nil meminta nombor akaun bank wanita berkenaan sebelum memindahkan wang RM3,000 serta-merta kerana tersentuh dengan luahan pemanggil itu.
“Memang ia berlaku secara spontan. Saya tersentuh dengan cerita dia yang tidak tahu bagaimana hendak mencari duit untuk memberi kepada ibu bapa, anak-anak dan saudara-mara kerana perbelanjaan mereka cukup-cukup sahaja.
“Sumbangan ini bukanlah besar, sebaliknya sekadar menjadi perantara supaya dia dapat merasai nikmat memberi kepada insan tersayang,” katanya.
Kata Aznil, sepanjang bergelar penyampai radio, kisah Amira antara yang paling meruntun jiwanya.
“Ini antara cerita pendengar yang benar-benar menyentuh hati saya. Saya sendiri tidak terfikir soal raya, tetapi ada insan yang mahu mengeluarkan RM30 pun terasa begitu perit,” katanya.
Perkongsian momen itu di akaun Instagram Kool FM turut mendapat perhatian ramai termasuk selebriti seperti Beto Kusyairy yang menzahirkan penghargaan atas keprihatinan Aznil dalam menyebarkan kebaikan.
Turut meninggalkan komen ialah Neelofa, Zara Zya, Liyana Jasmay dan Izzue Islam, selain warganet yang turut tersentuh dengan kisah berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




