hafizithnin@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Aliran trafik di lebuh raya utama negara setakat jam 10 pagi tadi dilaporkan masih terkawal dengan hanya beberapa lokasi di laluan ke Pantai Timur merekodkan pergerakan perlahan.
Penolong Jurutera Kanan Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Saiful Ezri Jamaluddin berkata, secara keseluruhan trafik di semua lebuh raya di bawah seliaan LLM bergerak lancar kecuali di kawasan tertentu berhampiran Gombak.
Katanya, antara laluan yang terjejas adalah dari KM36 hingga KM37 arah Gombak ke Genting Sempah apabila trafik dilaporkan bergerak perlahan.
“Selain itu, satu lagi lokasi dikenal pasti mengalami kesesakan ringan ialah dari KM39.6 hingga KM40.8 menghala ke Bukit Tinggi dengan pergerakan perlahan sepanjang kira-kira 1.2 kilometer,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambahnya, setakat ini pihaknya masih belum menerima unjuran trafik penuh bagi hari ini, khususnya bagi laluan ke Pantai Timur.
“Kita hanya ada unjuran bermula jam 11 pagi hingga 5 petang, namun untuk waktu semasa ini kita belum dapat angka sebenar.
“Bagaimanapun, berdasarkan pemantauan semasa, hanya laluan ke Pantai Timur menunjukkan pergerakan perlahan manakala laluan lain kekal lancar,” katanya.
Mengulas lanjut, Saiful Ezri berkata, jumlah trafik hari ini dijangka menunjukkan penurunan berbanding semalam.
“Semalam kita merekodkan kira-kira 2.9 juta kenderaan menggunakan lebuh raya utama.
“Hari ini dijangka menurun kerana keadaan trafik di kebanyakan laluan adalah lancar dan terkawal, kecuali sedikit perlahan di laluan Pantai Timur,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



