am@hmetro.com.my
Alor Gajah : Keadaan kediaman yang kurang terurus akibat kekangan hidup sebuah keluarga di Kampung Durian Daun, Masjid Tanah mendapat perhatian apabila ia dibersihkan secara gotong-royong menjelang Aidilfitri.
Suri rumah, Norain Roslan, 33, berkata, dia tidak mampu menguruskan rumah yang disewanya itu dengan sempurna kerana perlu memberi tumpuan kepada enam anaknya berusia 15 tahun hingga satu tahun termasuk seorang anak autisme berusia lima tahun.
Menurutnya, pernah terlintas untuk bekerja bagi membantu menambah pendapatan keluarga, namun hasrat itu terpaksa diketepikan kerana tiada siapa yang boleh menjaga anak-anak, terutama anak autisme yang memerlukan perhatian penuh.
“Bukan saya tak mahu bekerja, tetapi anak-anak tiada siapa yang boleh jaga, terutama anak autisme.
“Ada masa dia bermain dengan najis sendiri, ada kala dia tidak akan tidur dan akan membuat sepah jadi saya tidak berani tinggalkan dia seorang,” katanya.
Tambahnya, anaknya itu memerlukan pemantauan rapi dan pernah beberapa kali terlepas keluar ke jalan raya selain menunjukkan tingkah laku di luar jangkaan.
Menurutnya, pernah mendapatkan kaunseling di Klinik Kesihatan (KK) Masjid Tanah akibat tekanan yang dihadapi, namun tetap menerima keadaan itu sebagai ujian dan tidak pernah membezakan kasih sayang terhadap anaknya.
Ujarnya suaminya baharu beberapa bulan bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah dengan pendapatan sekitar RM2,000 sebulan.
Katanya, pendapatan itu menjadi satu-satunya sumber rezeki keluarga, namun mereka masih dibelenggu hutang pinjaman tidak berlesen sebanyak RM700 sebulan.
“Kami pernah tiga hari berturut-turut makan bihun goreng atau nasi goreng telur sahaja kerana itu yang paling murah,” katanya.
Dalam pada itu, Norain bersyukur menerima bantuan zakat serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang sedikit sebanyak membantu kelangsungan hidup mereka.
Terdahulu, program gotong-royong berkenaan diketuai Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin bersama sukarelawan.
Mas Ermieyati berkata menerusi inisiatif itu kediaman keluarga berkenaan dibersihkan selain mereka turut menerima sumbangan seperti tikar getah, tilam dan beberapa peralatan elektrik sebagai persiapan Aidilfitri.
“Program tersebut diadakan bagi meringankan beban keluarga itu sekali gus membolehkan mereka menyambut Aidilfitri dalam suasana lebih selesa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




