London: Tottenham berdepan perlawanan getir menentang Nottingham Forest ketika perebutan untuk kekal dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) semakin memuncak.
Dengan pendahulu Arsenal dan Manchester City bakal berentap dalam final Piala Liga, tumpuan liga kini beralih kepada perebutan sengit untuk mengelak penyingkiran serta memburu tempat ke Liga Juara-Juara (UCL).
Pertahanan Tottenham, Pedro Porro mengakui aksi menentang Forest ibarat perlawanan final buat kedua-dua pasukan.
Skuad kendalian Igor Tudor kini hanya satu mata di atas Forest yang berada di tangga keempat tercorot, sekali gus tiada ruang untuk kesilapan.
Tottenham berdepan risiko tergelincir ke zon penyingkiran jika tewas kepada Forest dan West Ham pula mencatat kemenangan ke atas Aston Villa.
Dengan hanya lapan perlawanan berbaki, Tottenham berusaha mengelak daripada tersingkir ke divisyen kedua buat kali pertama sejak musim 1977-78.
Meskipun tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara selepas tewas agregat 5-7 kepada Atletico Madrid, kemenangan 3-2 dalam aksi terakhir memberi sedikit keyakinan kepada pasukan itu.
Porro berkata, prestasi ketika menentang Atletico serta keputusan seri menentang Liverpool sebelum ini menunjukkan Tottenham kembali menemui rentak.
“Ia memberi keyakinan menjelang perlawanan yang ibarat final ini. Kami akui prestasi dalam liga tidak memuaskan, tetapi kami mula menunjukkan perkembangan positif,” katanya.
Menurutnya, situasi yang dihadapi Tottenham ketika ini cukup sukar kerana tiada pasukan mahu berada dalam kedudukan sebegitu.
Tottenham kini melalui rekod tanpa kemenangan dalam 12 perlawanan liga, yang terburuk sejak 1935, manakala Forest juga tidak mencatat kemenangan dalam tujuh aksi terakhir liga.
© New Straits Times Press (M) Bhd




