99 Speed Mart perkukuh CSR melalui sumbangan bakul makanan RM700,000

99 Speed Mart perkukuh CSR melalui sumbangan bakul makanan RM700,000

Kuala Lumpur : Rangkaian pasar raya mini terkemuka, 99 Speed Mart terus memperkukuh komitmennya dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada golongan memerlukan di seluruh negara sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina 2026.

Menerusi inisiatif itu, 99 Speed Mart menyalurkan sumbangan lebih 15,000 set bakul perayaan dengan nilai keseluruhan melebihi RM700,000, melalui kerjasama strategik bersama pelbagai pihak termasuk Pejabat Menteri Besar, Kerajaan Negeri, Majlis Agama Islam Negeri serta rumah-rumah kebajikan.

Bakul makanan itu mengandungi pelbagai barangan keperluan asas bagi persiapan perayaan antaranya seperti beras, biskut, bihun, minuman manis, tepung gandum, gula, kordial, kurma dan beras ketupat.

Menurut Ketua Pegawai Operasi 99 Speed Mart, Yong Eng Kwang, inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menyokong kesejahteraan masyarakat khususnya golongan yang memerlukan agar mereka dapat membuat persiapan perayaan dengan lebih sempurna.

“Pada masa yang sama, ia juga sebagai tanda penghargaan kepada para pelanggan yang terus memberikan kepercayaan kepada 99 Speed Mart sebagai destinasi utama pembelian barangan keperluan harian.

“Kepercayaan dan sokongan yang diberikan oleh pelanggan menjadi asas kepada kami untuk terus memberi nilai tambah kepada komuniti serta menyumbang secara mampan kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambah Eng Kwang, sumbangan itu diharapkan dapat menceriakan sambutan perayaan terutamanya bagi keluarga kurang berkemampuan agar mereka turut berpeluang menikmati kegembiraan bersama insan tersayang dalam suasana yang lebih bermakna.

“Selaras dengan nilai teras syarikat, 99 Speed Mart sentiasa percaya bahawa semangat perpaduan, keprihatinan dan kebersamaan dapat diperkukuhkan melalui amalan berkongsi rezeki,” katanya.

99 Speed Mart kini memiliki lebih 3,000 cawangan dan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia, terus berkembang sebagai salah satu rangkaian peruncitan ikonik yang memfokuskan kepada kemudahan pengguna dan harga berpatutan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top