norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon dan penerbit drama, Datuk Rosyam Nor, 59, menyifatkan suasana sambutan Aidilfitri kali ini lebih menyeronokkan dengan kehadiran enam cucu tersayang.
Rosyam berkata, pengalaman beraya sekarang sangat bermakna buat dirinya kerana dia pasti menanti kepulangan anak-anaknya sekeluarga kerana mahu bersama cucu-cucunya.
“Dulu, giliran saya yang akan pulang ke rumah emak atau mentua setiap kali nak sambut hari raya. Tapi, sekarang kehidupan saya sudah berubah bila anak-anak ada yang berkahwin dan mempunyai cucu.
“Memang saya jadi lebih seronok menunggu anak-anak balik beraya dengan keluarga mereka dan dapat berjumpa cucu. Maka, riuh-rendah jadinya suasana di dalam rumah saya dan sangat meriah.
“Ditambah, tengok rumah penuh dengan anak dan menantu termasuk dengar suara cucu-cucu, memang suasana hari raya diraikan itu terasa amat hidup,” katanya.
Berbicara persiapan sambutan Aidilfitri, Rosyam atau nama sebenar Mohamed Noor Shamsuddin memaklumkan isteri dan anak-anaknya yang mengurus semua perkara.
“Saya ini senang sahaja, apa warna pakaian yang isteri dan anak-anak sudah pilih, okay kita pakai. Bagi saya, biarlah mereka yang lebih arif membuat persiapan itu.
“Begitu juga, kalau mereka ajak pergi kunjung-mengunjung ke rumah sanak saudara, saya akan ikut sahaja ke rumah siapa yang dibawa singgah. Asalkan musim perasaan dirai kami sekeluarga meriah dan bermakna,” katanya.
Menyentuh cara melayani karenah cucu-cucu yang masih kecil, Rosyam berkata, kaedah sangat berbeza dengan cara digunakan terhadap anak-anaknya dulu.
“Dengan cucu memang lain. Mungkin sebab mereka itu anak orang. Jadi, kalau kita rasa nak marah sangat pun tetap tidak sampai hati, malah bertambah sayang.
“Tapi, dulu dengan anak sendiri ada masa kita cubit juga. Bila dengan cucu ini, lain sangat. Kalau nak marah pun tidak jadi sebab terlalu sayang. Terus tak boleh nak buat apa,” katanya.
Di sebalik kegembiraan meraikan Aidilfitri bersama keluarga yang dirasakan sudah lengkap, Rosyam tidak menafikan hatinya pasti terusik apabila mengenangkan insan-insan tersayang yang sudah pergi buat selamanya.
Katanya, atas sebab itu masa bersama keluarga menjadi salah satu nikmat daripada Allah yang sangat dihargainya dan memastikan setiap momen bersama jadi sangat bermakna.
© New Straits Times Press (M) Bhd



