Bukit Mertajam: Sebarang perselisihan kecil dalam negara perlu ditangani segera supaya tidak berkembang menjadi krisis yang boleh menggugat keamanan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menegaskan bahawa perpaduan rakyat, kestabilan dan keselamatan negara perlu menjadi keutamaan ketika Malaysia berdepan tekanan ekonomi serta ketidaktentuan akibat konflik antarabangsa.
“Sebab kita belajar, kalau mula bergaduh saja, hancur negara, ekonomi habis, orang ada kerja pun hilang kerja, yang hidup sihat pun terkorban.
“Jadi, kita jangan tunggu sampai keadaan itu, kerana kita bernasib baik masih lagi bertahan,” kata beliau ketika berucap pada program Santai Akhir Ramadan Bersama Pimpinan Komuniti Permatang Pauh di Dewan Orang Ramai Permatang Pasir, di sini hari ini.
Perdana Menteri menegaskan bahawa sebarang isu melibatkan sensitiviti agama atau kaum perlu diselesaikan mengikut undang-undang dan melalui rundingan, bukan dengan emosi mahupun provokasi.
Sehubungan dengan itu, Anwar menyeru rakyat agar terus memperkukuh semangat kebersamaan, mengelakkan perpecahan serta mengekalkan keharmonian demi masa hadapan negara.
“Jaga keamanan negara kerana kita ada pelbagai kaum dan agama. Mana ada negara di dunia yang ada pelbagai kaum, pelbagai agama, boleh aman dan tenang seperti (Malaysia) ini. Panas sikit, tak puas hati sikit, merajuk sikit, itu biasalah tak apa boleh tahan lagi tetapi jangan gaduh,” kata beliau.
Pada masa sama, Perdana Menteri turut memuji sikap toleransi dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini, yang menjadi kekuatan utama Malaysia.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan sentiasa memantau tahap keselamatan negara melalui mesyuarat berkala termasuk bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN), selain menggerakkan agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan keadaan kekal terkawal.
Beliau berkata kerajaan juga telah mengarahkan pemantauan rapi pada semua peringkat bagi memastikan keselamatan negara terus terpelihara dalam menghadapi cabaran semasa.
“Negara lain sedang bergolak, ekonomi mereka jatuh, nilai mata wang merosot. Kita masih bertahan kerana kestabilan dan kita urus dengan baik,” kata beliau.
© New Straits Times Press (M) Bhd




