am@hmetro.com.my
Pelabuhan Klang: Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari mendedahkan bot yang sepatutnya dinaiki beliau bagi perjalanan akhir misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 disabotaj rejim Zionis.
Beliau yang dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua delegasi GSF 2.0 bagaimanapun berkata, tindakan itu tidak akan mematahkan semangat mereka untuk terus bersuara demi kebebasan penduduk Gaza.
“Sebenarnya saya sepatutnya mengikuti dalam perjalanan terakhir itu, tetapi mereka (Israel) dapat mengesan bot yang saya akan gunakan.
“Bot itu ditenggelamkan dipercayai disabotaj sebelum saya sempat naik ataupun sebelum mereka mendarat untuk delegasi yang akan bersama saya naik.
“Insya-Allah, kita tidak akan berhenti di sini. Kita akan memastikan mesej ini dapat sampai iaitu ‘Break the silence’. Kita nak pecahkan rasa diam dan juga tidak bersuara dalam isu terhadap rakyat di Gaza,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Peluncuran Program Tuisyen Rakyat Selangor & Program Didik Kasih di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 di sini, hari ini.
Pada masa sama katanya, tindakan menahan serta melakukan tekanan fizikal terhadap 29 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF 2.0 sebagai satu penculikan terdesak oleh rejim itu.
“Kita rasa syukur kepada Allah SWT kerana mereka dibebaskan walaupun kali ini mereka mendapat penderaan dan tekanan fizikal daripada rejim.
“Mereka ditahan di perairan antarabangsa, saya anggap ia satu penculikan yang dibuat oleh rejim (Zionis) dalam keadaan terdesak kerana semakin hari semakin ramai peserta (misi kemanusiaan) datang. Kali ini sabotaj mereka itu dua kali, satu di perairan Greece, satu lagi di perairan yang berdekatan Turkiye.
“Alhamdulillah dijangkakan menjelang hujung minggu ini mereka (29 aktivis) akan pulang ke Malaysia. Saya sedia maklum pihak Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) juga sudah ke sana.
“Saya tidak berkesempatan untuk pergi bersama-sama dengan mereka, mungkin saya akan sambut mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya.
Beliau berkata, pada ketika ini pihaknya sedang menunggu laporan akhir untuk memastikan barangan 30 kontena yang dilepaskan pada bulan lalu itu akan sampai dalam masa terdekat
“Dan bila sampai, saya akan maklumkan ataupun saya akan ke sana untuk melihat penyampaian bantuan itu,” katanya.
Terdahulu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan semua 29 rakyat Malaysia yang ditahan Israel di perairan antarabangsa ketika menyertai misi kemanusiaan GSF 2.0, selamat tiba di Istanbul, Turkiye, jam 5.45 petang waktu tempatan semalam.
“Setakat ini semua dalam keadaan baik walaupun enam peserta termasuk lima lelaki mengalami kecederaan dan perlu pemeriksaan kesihatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




