PRN: UMNO yakin DUN Johor bubar bila waktu sesuai

PRN: UMNO yakin DUN Johor bubar bila waktu sesuai

SEREMBAN – UMNO-Barisan Nasional (BN) yakin Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi akan menasihatkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada waktu yang difikirkan sesuai.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan turut tidak menolak kemungkinan PRN negeri berkenaan boleh diadakan dalam waktu terdekat.

“Membubarkan DUN ini adalah hak mutlak Tuanku, atas nasihat Menteri Besar. Saya yakin beliau akan memberikan nasihat kepada Tuanku bila masa yang sesuai untuk diadakan atau pun dibubarkan DUN bagi membolehkan PRN diadakan.

“Boleh jadi masa terdekat, boleh jadi lambat. Itu terpulanglah kepada budi bicara baginda,” katanya selepas merasmikan Kejohananan Olahraga Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Sendayan di sini pada Jumaat.

Bagaimanapun jelas beliau, buat masa ini soal PRN negeri tersebut masih belum dibincangkan di peringkat kepimpinan tertinggi di peringkat pusat.

Ujarnya, sebaik saja mendapat perkenan Sultan Johor, Menteri Besar akan memaklumkan kepada parti supaya dapat bersama-sama merancang dan menyusun gerak kerja untuk diadakan pilihan raya.

“Saya yakin apabila Menteri Besar telah dapat lampu hijau atau pun telah mendapat restu, beliau akan datang berunding dengan kepimpinan pusat supaya dapat bersama-sama merancang untuk diadakan pilihan raya,” katanya.

Berkenaan krisis politik di Negeri Sembilan, Ahli Parlimen Rembau itu berpendapat, jalan terbaik untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku adalah dengan membubarkan DUN, sekali gus memberikan semula mandat kepada rakyat untuk membuat keputusan.

Ini kerana ujarnya, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun secara dasarnya sudah hilang kepercayaan daripada seramai 14 Ahli Dewan Undangan(ADUN) parti itu.

“Kalau Aminuddin sudah tidak dapat lagi kepercayaan majoriti daripada Ahli Dewan, sebaiknya beliau membubarkan DUN dan kita pulangkan semula mandat kepada rakyat untuk membuat keputusan siapa yang mereka nak untuk mentakbir semula Negeri Sembilan.

“Jangan kita bising ‘kulu-kilir’, ia menyebabkan rakyat rasa tak tenteram. Sudahlah dengan keadaan dunia tidak stabil dengan perangnya, jadi kita buat elok-elok,”katanya.

Tambahnya, keberadaan parti berkenaan di dalam Kerajaan Perpaduan adalah semata-mata untuk mengurus negara secara bersama, bukannya untuk menimbulkan ketidaktenteraman awam.

 

Scroll to Top