Trump tolak gencatan senjata, dakwa Iran makin lemah

Trump tolak gencatan senjata, dakwa Iran makin lemah

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, tidak mahu mencapai gencatan senjata dalam konflik berterusan AS-Israel dengan Iran, sambil mendakwa Teheran kini berada dalam keadaan lemah.

Bercakap kepada pemberita sebelum berlepas dari Rumah Putih pada Jumaat, Trump berkata, tindakan gencatan senjata tidak wajar ketika operasi ketenteraan masih memberi kelebihan kepada pihaknya.

Beliau turut menyatakan keyakinan Israel akan sehaluan dengan Washington sekiranya keputusan menamatkan perang dibuat, dengan menegaskan kedua-dua negara berkongsi matlamat yang sama iaitu mencapai kemenangan.

Kenyataan itu dibuat beberapa jam selepas Trump memaklumkan hasrat untuk mengadakan rundingan dengan Iran, namun mendakwa tiada pihak yang boleh diajak berbincang susulan kematian beberapa pegawai kanan Iran dalam serangan AS-Israel, termasuk Pemimpin Tertinggi ketika itu, Ali Khamenei, serta tokoh kanan Ali Larijani.

Sementara itu, Iran menolak sebarang rundingan gencatan senjata, dengan Menteri Luarnya, Abbas Araghchi, menyatakan AS bertanggungjawab terhadap konflik tersebut dan kesannya ke atas rantau berkenaan.

Trump turut memperkecilkan kebergantungan negaranya terhadap Selat Hormuz, laluan penting minyak global yang dilalui sebahagian besar penghantaran minyak dunia.

“Kami tidak menggunakan selat itu… Kami tidak memerlukannya. Eropah memerlukannya. Korea Selatan, Jepun, China… Jadi mereka perlu terlibat sedikit,” katanya ketika berucap di Rumah Putih.

Laluan perairan itu menjadi tumpuan kebimbangan tenaga global sejak Kor Pengawal Revolusi Islam Iran mengumumkan penutupannya kepada kebanyakan kapal sebagai tindak balas terhadap serangan AS-Israel yang bermula pada 28 Februari.

Selepas Trump menggesa bantuan antarabangsa untuk membuka semula selat itu, banyak negara dilaporkan enggan terlibat dengan alasan AS memulakan perang tersebut tanpa rundingan antarabangsa, sekali gus menganggap konflik itu sebagai tanggungjawab Washington.

Ketegangan serantau terus meningkat sejak AS dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Februari. Serangan itu dilaporkan mengorbankan kira-kira 1,300 orang, termasuk lebih 150 kanak-kanak di sebuah sekolah rendah perempuan.

Iran pula bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan Israel serta aset yang didakwa berkaitan AS di seluruh rantau itu, sekali gus memburukkan lagi konflik.- ANADOLU

Scroll to Top