sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tekong negara, Zulkifli Abd Razak sanggup mengetepikan kesakitan demi memastikan impian Malaysia muncul juara Piala Dunia Sepak Takraw menjadi kenyataan walaupun terpaksa bermain dengan hanya ’30 peratus’ kemampuan sebenar ketika aksi final baru-baru ini.
Lebih dikenali dengan panggilan Sobey, dia mengakui kecederaan lutut kanan dan hamstring kiri dialami sejak aksi separuh akhir menentang Indonesia memberi kesan besar terhadap permainannya ketika final.
Menurutnya, kecederaan itu kembali dirasai pada set kedua final sehingga mengganggu pergerakannya terutama ketika melakukan servis dan menerima bola lawan.
“Sakit itu mula datang semasa perlawanan separuh akhir melawan Indonesia dan selepas perlawanan saya balik dan mendapatkan rawatan.
“Tapi bila masuk set kedua final, sakit itu datang semula. Saya memang bermain dalam keadaan menahan sakit,” katanya kepada Arena Metro.
Zulkifli berkata, dia bagaimanapun tidak pernah terfikir untuk menarik diri walaupun berdepan kesakitan sepanjang perlawanan berlangsung.
Katanya, ketika itu fikirannya hanya mahu menghabiskan perlawanan demi pasukan dan negara.
“Memang saya tak pernah fikir nak berhenti atau tarik diri. Saya cuma fikir nak habiskan juga perlawanan itu, kalah menang saya tak kisah, saya cuba buat yang terbaik untuk habiskan perlawanan itu.
“Masa itu memang boleh kata saya hanya bermain 30 peratus sahaja. Selebihnya memang saya guna semangat untuk negara,” katanya.
Menurutnya, semangat dan tanggungjawab terhadap pasukan menjadi faktor utama yang membuatkannya terus bertahan sehingga tamat perlawanan.
“Kalau tak ada semangat itu, rasanya memang dah keluar dah. Semangat untuk negara itu yang buat saya terus lawan sakit,” katanya.
Berkongsi mengenai pengorbanan terbesar sepanjang bergelar atlet negara, Zulkifli mengakui terpaksa berjauhan dengan keluarga demi menjalani latihan pusat di Bukit Jalil.
“Saya tinggalkan keluarga, isteri dan anak-anak, ibu saya di Terengganu semasa saya berlatih di Kuala Lumpur.
© New Straits Times Press (M) Bhd




