Kuala Lumpur : Usahawan dan pempengaruh terkenal, Ojen Aiwahhh menyelar sikap atlet Muay Thai negara, Johan Ghazali atau Jojo yang didakwa menyatakan kunafa sebagai makanan ‘sampah’ kerana kandungannya yang disifatkan tidak sihat.
Biarpun Jojo menyebut secara umum dalam satu podcast baru-baru ini, rata-rata netizen yang memberikan reaksi balas mengungkap nama jenama kunafa milik Ojen atau nama sebenarnya, Zayn Rosli.
Pemilik jenama Kunafa Aiwahhh berkenaan berkata, dia ‘penat’ dan ‘down’ seharian memikirkan perkara itu.
“Ada saja yang tak puas hati dengan jenama saya. Terbaharu, Jojo pula boleh keluar kenyataan berunsur ‘ragebait’ atau umpan kemarahan serta provokasi dengan melabelkan kunafa sebagai makanan ‘sampah’.
“Tambah pula hari ini semua umat Islam berlumba-lumba mengejar pahala sempena Hari Arafah. Esok pun kita nak sambut Hari Raya Aidiladha. Tapi kecoh pula dengan benda yang tak perlu,” tegasnya.
Ojen menegaskan lagi, dia boleh menerima jika Jojo hanya menyifatkan kunafa sebagai manisan tidak sihat dan bukannya ‘sampah’.
“Kalau tak suka kunafa sekalipun, dia (Jojo) boleh cakap baik-baik dan jangan sewenang-wenang melabel sampah terhadap makanan.
“Ini sumber makanan untuk yang meminati kunafa. Ia juga rezeki buat saya serta staf yang mencari rezeki dengan berniaga kunafa.
“Jojo juga sebenarnya ada menghantar mesej langsung ke akaun media sosial milik saya,” ujarnya.
Menerusi semakan di Thread, Jojo turut menyifatkan keadaan diri Ojen yang berperwatakan lembut sebagai seorang yang memiliki testosteron rendah.
“Dia siap tulis biarlah ‘rate’ atau kadar bayaran dirinya rendah selepas tewas dalam kejohanan baru-baru ini daripada memiliki testosteron rendah.
“Pada saya, biarlah testosteron rendah sekalipun, cukup adab dengan makanan di tahap tertinggi. Dalam Islam sendiri tak tekankan soal testosteron tinggi atau rendah. Kalau nak dipandang tinggi, tinggikan adab bukannya ego. Manusia ada adab. Melayu kaya dengan adab.
“Jojo siap memuatnaik poster rekaan berunsur sinis memperlihatkan dirinya akan bertarung Muay Thai dengan saya. Tentu dia akan menang besar dalam perlawanan itu. Tapi saya tak boleh melihat ‘kekalahan’ saat ada yang melabel sumber rezeki saya sebagai ‘sampah’,” dakwanya.
Ojen turut menjelaskan dia pernah berhasrat menawarkan tajaan kepada Jojo, namun ia seakan tidak selari dengan imejnya.
“Tapi hakikatnya, dia pernah mengakui minat dengan kunafa saya dan menjamahnya. Tak kisahlah sekalipun kalau dia tak mahu ditaja jenama kunafa milik saya. Itu hak dia.
“Tapi sekurang-kurangnya hormatlah saya yang pernah menaja lima ‘fighter’ termasuk Kabilan Jelevan. Kabilan sendiri ‘fighter’ yang bernaung di bawah Rentap Muay Thai dimiliki keluarga Jojo.
“Pembabitan saya menaja atlet Muay Thai tempatan dilakukan sebelum ini pun atas dasar mahu membantu dan menyokong arena sukan, bukannya semata-mata mengejar keuntungan.
“Malah saya juga menaja filem aksi Tarung: Unforgiven baru-baru ini yang diterbitkan Aedy Ashraf. Jadi tak bolehkah Jojo menunjukkan empati dan semangat positif bersama-sama? Dan bukannya menjatuhkan orang lain termasuk saya,” tegasnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




