Sabrina Carpenter layak julang trofi

Sabrina Carpenter layak julang trofi

Los Angeles : Penyanyi, komposer dan pelakon, Sabrina Carpenter, 27, antara pemenang yang menyerlah di pentas American Music Awards (AMA) 2026 di MGM Grand Garden Arena, di sini, hari ini.

Sabrina membawa pulang tiga anugerah menerusi kategori Album Terbaik untuk album Man’s Best Friend, diikuti kategori Artis Pop Terbaik Wanita dan Album Pop Terbaik (Man’s Best Friend).

Kejayaan Sabrina itu menuai ucapan tahniah daripada peminatnya di media sosial yang tidak menduga dia berjaya menewaskan penyanyi juga pelakon terkenal, Lady Gaga di AMA 2026 bagi edisi ke-52 itu.

“Terbaik. Kamu layak menang Sabrina,” komen netizen.

“Tahniah, saya tahu awak layak bawa pulang anugerah itu,” kata seorang peminat.

“Lepas ini, boleh cuba menang di Grammy pula,” ujar peminat lain.

Pada persaingan finalis dalam beberapa kategori dipertandingkan di AMA 2026 kali ini, Lady Gaga antara nama artis yang tersenarai tetapi tidak menang walau satu anugerah.

Selain Lady Gaga, seorang lagi ‘superstar’ ternama global iaitu penyanyi juga komposer, Taylor Swift tewas dalam lapan kategori yang mencalonkan namanya di AMA 2026.

Pada kategori muzik pop berkenaan, anugerah Artis Pop Lelaki Terbaik dimenangi oleh Justin Bieber. Manakala, anugerah utama iaitu Artis Terbaik menjadi milik kumpulan K-Pop, BTS dan Artis Baru Terbaik dimenangi KATSEYE.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top