Operasi perkhidmatan ETS dan Komuter Utara kembali pulih seperti biasa

Operasi perkhidmatan ETS dan Komuter Utara kembali pulih seperti biasa

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengesahkan kerja-kerja baik pulih sistem semboyan susulan kejadian insiden kecurian kabel di kilometer 95.8 antara Sungai Siput dan Kamunting yang berlaku pagi tadi selesai sepenuhnya pada jam 5.30 petang hari ini.

KTMB berkata, susulan penyiapan kerja-kerja itu, operasi perkhidmatan tren elektrik (ETS) kembali beroperasi seperti biasa di laluan Sungai Siput – Kamunting.

“Manakala bagi perkhidmatan KTM Komuter Utara, operasi tren bagi laluan Ipoh – Butterworth -Ipoh turut kembali beroperasi seperti biasa.

“Walau bagaimanapun, KTMB menjangkakan kelewatan sementara bagi beberapa perjalanan ETS susulan proses pelarasan semula jadual dan pergerakan tren,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, KTMB turut menyeru orang ramai supaya segera melaporkan kepada pihak berkuasa atau KTMB sekiranya terlihat sebarang aktiviti mencurigakan atau individu berada di kawasan landasan tanpa kebenaran.

“KTMB memohon maaf sekali lagi dan merakamkan penghargaan kepada penumpang atas kesabaran dan kerjasama sepanjang tempoh gangguan operasi ini.

” Untuk perkembangan lanjut akan dimaklumkan melalui saluran media sosial rasmi KTMB. Sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-9779 1200,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top