Seperti suap ayah sendiri – Din, pembantu trafik ETS prihatin nasib penumpang OKU

Seperti suap ayah sendiri – Din, pembantu trafik ETS prihatin nasib penumpang OKU

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Biarpun tiada pertalian darah, pemuda ini ikhlas melayan warga emas berstatus orang kurang upaya (OKU) seperti darah daging sendiri.

Tanpa dipinta, Mohammad Nuruddin Mat Nasir, 26, atau mesra disapa Din pantas menyantuni insan istimewa itu dengan membantu menyuap makanan sewaktu pertemuannya dengan lelaki yang juga penumpang setia tren elektrik (ETS).

Keikhlasan Din yang berasal dari Tumpat, Kelantan dapat dilihat menerusi gambar dikongsikan seorang rakan setugasnya di media sosial baru-baru ini.

Menceritakan kisah itu, Din berkata, tugas harian sebagai pembantu trafik ETS menyebabkan dia sering berhadapan dengan penumpang termasuk golongan OKU.

Din juga sedia membantu mana-mana penumpang ketika bertugas namun keadaan lelaki ditemui ketika dalam perjalanan dari KL Sentral ke Sungai Petani Kedah pada 17 Mei lalu menjentik hatinya untuk membantu.

Ia kerana ketika itu, Din terkenangkan bapa, Mat Nasir Jusoh, 57, di kampung halaman yang juga ada masalah kesihatan.

“Waktu penumpang itu mula masuk ke dalam tren lagi, saya sudah perhatikannya dan nampak dia berseorangan serta sukar bergerak kerana menggunakan kerusi roda.

“Melihat keadaannya membuatkan saya terfikir bagaimana jika penumpang itu adalah ahli keluarga saya sendiri.

“Jadi saya bantu suapkan makanan walaupun ia di luar bidang tugas saya dan waktu itu, terasa macam suap ayah sendiri. Kalau dia ayah saya pun, saya harap ada orang dapat bantu dan beri layanan sama jika saya tiada di situ,” katanya ketika ditemui Harian Metro di KL Sentral, dekat sini.

Anak sulung daripada enam beradik itu berkata, apa dilakukan bukan atas dasar simpati namun ihsan sesama manusia kerana baginya, penumpang lelaki berkenaan berhak mendapat layanan sedemikian.

Menurut Din, dia juga menjadi insan yang lebih peka dengan sekeliling kerana tugas harian mendidik dirinya supaya prihatin terutama dengan keperluan OKU juga warga emas.

“Saya tak pernah fikir nak buat sesuatu untuk tular kerana tahu perkongsian di Threads itu pun selepas diberitahu rakan yang memuat naik gambar saya.

“Terkejut juga tapi bagi saya, tak salah untuk kita berbuat baik sesama insan.

“Niat saya hanya nak menolong dan anggap itu sebahagian tugas serta tanggungjawab saya… penumpang itu ada ucap terima kasih dan jujurnya, saya puas kerana dapat membantunya,” katanya yang mula berkhidmat dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sejak Julai tahun lalu.

Menurut Din, dia seronok dengan kerja yang dilakukan kerana memberinya peluang bertemu dengan penumpang dari pelbagai latar belakang.

Sebagai kakitangan, Din akan berusaha memberi perkhidmatan yang terbaik dengan harapan dapat meningkatkan imej syarikat.

“Walaupun masih baru, banyak pengalaman manis yang saya dapat dan seronok kerana sering berjumpa dan berkenalan dengan orang baru.

“Satu pengalaman yang berharga dan jika ada rezeki, saya nak bertahan lama di syarikat ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top