mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat memaklumkan sentiasa berhati-hati dan mengutamakan kesihatan anaknya semasa sambutan Aidilfitri.
Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 33, berkata dia tidak pulang ke kampung halaman membawa anak-anak terutama anak ketiga yang kini berusia dua bulan kerana bimbang jangkitan penyakit.
“Datuk dan nenek mereka kalau nak jumpa akan datang ke Kuala Lumpur. Saya dan suami, Nabil Mahir tak nak bawa mereka beraya di kampung atau ke tempat-tempat sesak dengan orang ramai.
“Lagipun kami tak beraya sangat sebab ada bayi. Sekarang pula dengan keadaan virus dan sebagainya jadi kami ambil langkah berjaga-jaga.
“Kami beraya dengan keluarga saya dan keluarga Nabil, itu sahaja dan ada beberapa orang kawan rapat datang ke rumah. Jadi kami tak bawa anak keluar,” katanya.
Menurutnya, sejak kelahiran anak sulung, dia dan suami mengambil pendekatan untuk membawa anak pulang ke kampung hanya selepas usia mereka mencecah setahun.
“Kami beraya di tempat yang kami tahu sahaja. Anak saya kalau masih kecil, kami memang tidak akan pergi ke tempat-tempat seperti kompleks beli-belah dan sebagainya.
“Kalau ikutkan anak saya selepas usia satu tahun baru saya balik ke kampung. Kami pun beraya di Kuala Lumpur. Bila usia mereka sudah setahun, baru kami bawa balik ke kampung,” katanya.
Dalam pada itu, Ayda mengakui banyak faktor lain turut diambil kira terutamanya kelengkapan dan peralatan anak-anak mereka apabila mahu balik ke kampung.
“Sebenarnya bukan dari segi kesihatan sahaja, tetapi terlalu banyak barang-barang bayi kalau nak bawa… memang penuh kereta.
“Lagi-lagi Nabil, dengan nak bawa periuk nasi dan dia memang suka bawa semua benda sendiri. Sterilizer baby (alat pensteril bayi) pun dia bawa,” katanya.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 1 Januari 2021 dan mereka dikurniakan cahaya mata iaitu Ana Nayla dan Aali Mateen sebelum kehadiran anak ketiga, Anggun Mikayla pada 26 Januari lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




