ercy.gracella@bh.com.my
Kuala Lumpur: Rata-rata warga asing di ibu kota di sini tidak melepaskan peluang mengunjungi ibu kota sempena 1 Syawal dengan mengambil kesempatan cuti perayaan.
Tinjauan di pekarangan sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu kota tengah hari tadi mendapati kawasan berkenaan dipenuhi pengunjung, dengan majoritinya terdiri daripada warga asing.
Chandan Kumar Yadav, 26, berasal dari Nepal, berkata beliau mengambil kesempatan untuk meluangkan 1 Syawal dengan bercuti bersama rakan-rakannya.
“Saya dan rakan-rakan diberikan cuti selama tiga hari oleh majikan. Sebelum ini, rakan saya berkongsi beberapa tempat menarik untuk dikunjungi, terutamanya KLCC.
“Saya belum berkesempatan ke sini kerana saya baru tujuh bulan berada di Malaysia. Jadi, kami mengambil peluang bersama untuk datang melihat KLCC yang menjadi mercu tanda Malaysia,” katanya kepada BH.
Ketika ditanya alasan memilih untuk berkerja di Malaysia, beliau yang juga yang bekerja di sebuah pasar raya berkata, rakannya mengajaknya bekerja di negara ini kerana Malaysia menawarkan peluang pekerjaan serta persekitaran kerja yang baik.
Sementara itu, Ratna Djoyopawiro, 35, berkata beliau dan kakaknya, Suparti Djoyopawiro, 53 menyambut 1 Syawal di Malaysia dan akan pulang ke Indonesia pada Hari Raya Haji.
“Saya sudah menetap 13 tahun di Malaysia. Dalam dua tahun sekali baru dapat balik kampung di Jogjakarta untuk merayakan Syawal.
“Selain berkumpul dengan kawan-kawan perantau yang tidak pulang kampung untuk menyambut Aidilfitri, saya memilih untuk berjalan di sekitar KLCC dengan kakak sebab di sini tenang.
“Saya ke sini menaiki Grab dari Bukit Jalil. KLCC kawasan indah untuk dikunjungi,” katanya.
Kongsinya, orang ramai khususnya warga asing mula memenuhi pekarangan KLCC sekitar jam 11 pagi tadi.
Tinjauan di beberapa stesen Transit Aliran Ringan (LRT) serta perhentian bas turut mendapati kawasan itu dibanjiri oleh warga asing dari Bangladesh, Indonesia dan Myanmar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




