am@hmetro.com.my
Kuala Nerus: Bagi kebanyakan keluarga, memakai pakaian sedondon pada Aidilfitri mungkin agak ‘cliche’ namun bagi keluarga besar Allahyarham Embong Jusoh dan Seah Othman di Kampung Gong Datok, di sini, tradisi itu menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan sejak lebih sedekad lalu.
Tradisi memakai pakaian warna sama setiap kali hari pertama Aidilfitri itu melibatkan kira-kira 150 ahli keluarga yang merangkumi empat generasi, bermula daripada datuk dan nenek sehinggalah kepada cucu cicit.
Salah seorang ahli keluarga tersebut, Adi Hafiza Ariffin, 40, berkata tradisi berkenaan sebenarnya sudah lama diamalkan dalam keluarga mereka namun hanya membabitkan keluarga kecil sebelum ini.
Menurutnya, bermula tahun 2010, mereka mengambil keputusan untuk memperluaskan konsep sedondon itu kepada seluruh keluarga besar yang merangkumi generasi pertama hingga generasi keempat.
“Kalau ikutkan, sejak tahun 1990-an lagi keluarga kami memang suka pakai sedondon tetapi hanya dalam keluarga masing-masing sahaja.
“Namun sejak 2010, kami sepakat untuk menjadikannya tradisi melibatkan seluruh keluarga besar supaya suasana Aidilfitri lebih meriah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Datuk di sini.
Menurutnya yang merupakan generasi ketiga dalam keluarga itu berkata, setiap tahun pemilihan warna pakaian Aidilfitri dibuat secara undian dalam kalangan ahli keluarga.
“Tahun ini merah jambu manakala undian yang dilakukan sebentar tadi memilih warna Burgundy (marun) untuk tahun hadapan.
“Masa mula diperkenalkan dahulu agak susah namun lama-kelamaan tradisi ini semakin diterima malah kini menjadi antara perkara paling dinantikan oleh ahli keluarga setiap kali menjelang Aidilfitri,” katanya.
Seorang lagi ahli keluarga, Anis Afuza Azhar, 30, berkata, kebanyakan keluarga akan membeli kain dalam jumlah yang banyak bagi memastikan warna pakaian benar-benar sepadan.
“Walaupun warna ditetapkan, pemilihan kain, rekaan terserah kepada setiap keluarga. Tradisi sedondon ini menjadi cara untuk mengeratkan hubungan antara ahli keluarga yang jarang bertemu.
“Bila semua pakai warna yang sama, memang terasa keterujaannya. Ia juga membuatkan kami lebih bersemangat untuk berkumpul beramai-ramai setiap tahun,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



