Houston: Portugal bermain menggunakan otak dan bukannya emosi ketika membelasah Uzbekistan 5-0, dengan persembahan yang membuktikan pemain mengambil pengajaran daripada keputusan seri mengecewakan dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia, kata jurulatih, Roberto Martinez.
Cristiano Ronaldo menjadi pemain pertama menjaringkan gol dalam enam edisi Piala Dunia selepas meledak dua gol dalam kemenangan besar Portugal sekali gus mendiamkan pengkritik susulan keputusan seri 1-1 menentang DR Congo pada aksi pertama Kumpulan K.
“Apabila kami menjaringkan gol dalam perlawanan pertama, kami hilang disiplin dan bentuk permainan.
“Kami memberi peluang kepada lawan untuk melakukan serangan balas dan kami gagal memasuki zon serangan akhir.
“Kami bermain menggunakan hati dan bukannya otak. Hari ini keadaannya berbeza. Kami sangat berdisiplin,” kata Martinez.
Portugal meningkatkan intensiti permainan sebaik wisel permulaan ditiup apabila pemain berusaha membuktikan kemampuan mereka kepada pengkritik dengan menggerakkan bola pantas dan mencipta banyak peluang.
Anak buah Martinez menghasilkan 17 percubaan dengan lapan tepat ke sasaran ketika menentang Uzbekistan termasuk pada penghujung perlawanan walaupun mereka sudah mengesahkan kemenangan dengan Ronaldo turut terlepas beberapa peluang terbaik untuk melengkapkan hatrik.
Martinez turut memuji kemampuan Ronaldo menjaringkan gol namun berkata pengalaman, etika kerja dan kesediaan kapten itu membuka ruang kepada rakan sepasukan menjadikannya pemain istimewa.
“Saya tidak pernah bekerja dengan seorang pemain yang tidak kira apa berlaku hari ini, dia masih mempunyai keinginan luar biasa untuk bekerja lebih keras pada keesokan harinya,” kata Martinez.
Portugal yang mengumpul empat mata daripada dua perlawanan akan menentang Colombia dalam aksi terakhir Kumpulan K, manakala Uzbekistan yang belum mengutip sebarang mata dan berada di ambang penyingkiran akan berdepan DR Congo.
Martinez turut menyatakan beliau tidak begitu bimbang dengan permulaan perlahan Portugal di Piala Dunia sambil berkata beliau kini memahami bahawa kesukaran pada peringkat awal mampu membentuk ketahanan yang diperlukan untuk melangkah jauh dalam kejohanan.
“Ini Piala Dunia ketiga saya. Dalam kejohanan pertama saya, saya fikir anda perlu memenangi setiap perlawanan.
Kini saya sedar ia sebenarnya sebaliknya. Ia adalah satu proses,” katanya. –
© New Straits Times Press (M) Bhd



