Kane terus 'mengganas'

Kane terus 'mengganas'

Munich: Ayam tambatan Bayern Munich, Harry Kane, semakin menghampiri rekod jaringan semusim Bundesliga selepas membantu pasukannya menewaskan Union Berlin 4-0, awal pagi tadi.

Dalam aksi di laman sendiri itu, Serge Gnabry menjaringkan dua gol, manakala Kane turut mencatat nama selaku penjaring untuk menambah koleksi golnya musim ini.

Jaringan babak kedua Kane menyaksikan beliau kini mengumpul 31 gol liga – jumlah sama yang dicatatkan Union sepanjang musim ini – dan hanya 10 gol di belakang rekod milik Robert Lewandowski pada musim 2020-21, dengan tujuh perlawanan berbaki.

Seorang lagi pemain, Michael Olise, turut menemui sasaran dalam kemenangan besar itu.

“Ia masih boleh dicapai, saya hanya perlu teruskan prestasi seperti sekarang.

“Cukup dengan satu hatrik atau beberapa kali dua gol berturut-turut dan peluang itu akan kelihatan lebih cerah,” kata Kane.

Bayern kini sudah menjaringkan 97 gol musim ini, hanya kurang empat gol untuk menyamai rekod 1971-72 yang dibantu legenda Franz Beckenbauer dan Gerd Muller.

Pengendali Bayern, Vincent Kompany melakukan lima perubahan daripada kesebelasan utama yang menewaskan Atalanta sebelum ini, namun tetap mengekalkan Kane sebagai tonggak utama.

Union berjaya bertahan sehingga minit ke-41 sebelum Olise menyudahkan hantaran jauh Leon Goretzka dengan rembatan lencong ke penjuru atas gol.

Gnabry kemudian menggandakan kelebihan sebelum rehat, disusuli jaringan Kane sejurus babak kedua bermula, sebelum Gnabry melengkapkan kemenangan dengan gol keempat pada minit ke-67.

Sementara itu, Borussia Dortmund bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Hamburg 3-2 sekali gus hampir mengesahkan kedudukan naib juara.

Ramy Bensebaini muncul wira apabila menjaringkan dua gol penalti pada babak kedua.

Hamburg terlebih dahulu mendahului hasil jaringan Philip Otele dan Albert Sambi Lokonga, selepas Felix Nmecha gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Namun, Dortmund bangkit menerusi penalti Bensebaini sebelum Serhou Guirassy menyamakan kedudukan.

Gol kemenangan hadir apabila percubaan jarak jauh Jobe Bellingham terkena tangan Miro Muheim, sekali gus memberikan satu lagi penalti yang disempurnakan Bensebaini.

Dortmund kini 11 mata di hadapan RB Leipzig di tempat ketiga, namun masih ketinggalan sembilan mata di belakang Bayern.

Harapan Bayer Leverkusen untuk menamatkan musim dalam kelompok empat terbaik terjejas selepas seri 3-3 menentang Heidenheim.

Leverkusen mendahului 2-0 menerusi Malik Tillmann dan Patrik Schick sebelum tuan rumah bangkit melalui jaringan Hennes Behrens dan penalti Marvin Pieringer.

Schick sekali lagi meletakkan Leverkusen di depan, namun Pieringer menyamakan kedudukan pada minit ke-85.

Dalam aksi lain, jaringan tunggal Justin Njinmah membantu Werder Bremen menewaskan Wolfsburg 1-0, sekali gus menghampirkan tuan rumah kepada penyingkiran.

Sementara itu, pertemuan seteru Rhine menyaksikan Cologne dan Borussia Monchengladbach terikat 3-3.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top