sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Atlet baling tukul besi wanita negara, Grace Wong meletakkan sasaran untuk membawa pulang pingat pada Sukan Asia Aichi-Nagoya, Jepun, September ini.
Bagi Grace, berdasarkan rekod semasa dan pencapaian pada edisi lalu, dia kini berada di kedudukan ketiga terbaik di Asia dalam acara berkenaan.
Katanya, dua pencabar utama yang berada di hadapan ketika ini adalah atlet dari China yang memiliki rekod balingan sekitar 75 hingga 78 meter (m).
“Kalau ikut rekod sekarang dan juga keputusan Sukan Asia sebelum ini, saya kira berada di nombor tiga. Dua lagi di depan memang dari China dengan balingan sekitar 75 hingga 78 meter,” katanya.
Menurutnya, jurang balingan dengan dua atlet China itu agak besar namun dia tetap optimis kerana apa sahaja boleh berlaku ketika pertandingan sebenar.
“Jurang itu memang agak jauh, tapi dalam pertandingan apa saja boleh berlaku. Mungkin mereka tidak buat balingan terbaik atau saya dapat lakukan lebih baik.
“Buat masa ini sasaran saya sekurang-kurangnya cuba dapatkan gangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Grace memaklumkan isu pembiayaan latihan yang sebelum ini menggunakan dana sendiri sudah diselesaikan selepas Sukan Sea Thailand 2025.
Justeru, segala perbelanjaan sepanjang tempoh latihan kini ditanggung oleh persatuan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Olahraga Malaysia (MA).
“Selepas Sukan Sea, perkara itu sudah diselesaikan dengan persatuan. Sekarang persatuan, MSN dan MA yang membantu menanggung kos latihan,” katanya.
Untuk rekod, pemegang rekod kebangsaan itu kini berkampung di China dalam tempoh panjang dalam usaha meningkatkan kemahiran serta teknik balingannya.
Semasa di China, atlet berusia 26 tahun itu bukan sahaja menjalani latihan, malah turut menyertai beberapa pertandingan kompetitif kerana persaingan di sana sangat sengit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




