Aliran kenderaan meningkat di lebuh raya utama, kesesakan menuju Lembah Klang

Aliran kenderaan meningkat di lebuh raya utama, kesesakan menuju Lembah Klang

razis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Memasuki hari kedua Syawal, aliran trafik di lebuh raya utama seluruh negara dilaporkan semakin perlahan susulan peningkatan pergerakan warga kota yang pulang ke Lembah Klang selepas meraikan Aidilfitri di kampung halaman.

Situasi itu menyaksikan beberapa laluan utama terutama Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) mengalami peningkatan jumlah kenderaan sejak tengah hari tadi.

Penolong Jurutera Pusat Pengurusan Trafik (TMC), Zulkefli Yunus berkata, setakat jam 5.55 petang, trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dilaporkan perlahan di beberapa lokasi utama.

“Trafik mulai perlahan arah Barat menuju ke Lembah Klang sejak jam 2.15 petang dan trend ini dijangka berterusan sehingga lewat malam.

“Dari arah Timur, kesesakan berlaku dari Bukit Tinggi ke Lentang di KM51.1 serta dari Lentang ke Bentong di KM57.1 manakala dari arah Barat pula, aliran trafik perlahan dari Bentong ke Bukit Tinggi serta dari Genting Sempah ke Plaza Tol Gombak,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), trafik dilaporkan sesak sehingga jam 6 petang di beberapa laluan utama arah Utara dan Selatan, terutama menghala ke Lembah Klang.

“Bagi arah Utara, kesesakan dikesan dari Simpang Renggam ke Ayer Hitam, Bukit Gambir ke Tangkak serta Tangkak ke Jasin susulan kemalangan di KM182.90.

“Selain itu, aliran perlahan turut dilaporkan dari kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh ke Simpang Ampat, Hentian Sebelah Senawang ke Seremban serta Bandar Ainsdale ke Nilai,” katanya.

“Bagi arah Selatan pula, trafik bergerak perlahan dari Bandar Ainsdale ke Senawang, Hentian Sebelah Senawang ke Pedas Linggi, Ayer Keroh ke Jasin serta Pagoh ke Yong Peng dan Simpang Renggam ke Sedenak,” katanya

Mengulas lanjut, laporan pada jam 5.05 petang turut menunjukkan kesesakan panjang di laluan arah Utara di kawasan Bukit Tagar hingga Tanjung Malim, Slim River ke Bidor, Tapah ke Gua Tempurung serta Gopeng ke Simpang Pulai.

“Trafik perlahan turut dilaporkan dari Ipoh Utara ke kawasan Menora, Bukit Berapit ke Changkat Jering, Bukit Merah ke Alor Pongsu serta Jawi ke Bandar Cassia.

“Di bahagian utara Semenanjung, aliran trafik turut sesak dari Permatang Pauh ke Sungai Petani Utara, Gurun ke R&R Gurun, Alor Setar ke Hutan Kampung serta Bandar Darul Aman ke Plaza Tol Jitra,” katanya.

Katanya, bagi arah Selatan pula, kesesakan dilaporkan berlaku dari Kepala Batas ke Hutan Kampung, Alor Setar ke Pendang, Pendang ke Gurun serta sekitar persimpangan Sungai Petani Selatan hingga Permatang Pauh ke Juru.

“Kemalangan di KM409.5 arah Selatan dari Tanjung Malim ke Lembah Beringin menyebabkan lorong kanan dan tengah terhalang sekali gus menambah kesesakan di laluan berkenaan,” katanya.

Beliau menasihatkan pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan lebih awal, mematuhi arahan pihak berkuasa serta sentiasa fokus ketika memandu bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top