Kurang hujan, suhu meningkat di penghujung Monsun Timur Laut

Kurang hujan, suhu meningkat di penghujung Monsun Timur Laut

razis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia kini berada di penghujung Monsun Timur Laut iaitu satu fasa peralihan yang bukan sahaja menandakan pengurangan hujan di Semenanjung, malah turut membawa bersama peningkatan suhu sehingga mencetuskan fenomena gelombang haba di beberapa kawasan.

Pensyarah Kanan Institut Perubahan Iklim (IPI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ricky Kemarau berkata, perubahan cuaca ini mula dirasai apabila beberapa lokasi mencatatkan suhu harian yang luar biasa tinggi sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kesan kepada kesihatan awam dan kesejahteraan masyarakat.

Katanya, keadaan ini adalah sejajar dengan pola klimatologi yang lazim berlaku ketika penghujung Monsun Timur Laut.

“Status Tahap 2 atau gelombang haba telah direkodkan di Padang Terap, Kedah apabila suhu maksimum harian berada dalam julat 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

“Keadaan itu memenuhi definisi rasmi yang ditetapkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi mengklasifikasikan kejadian gelombang haba,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dalam masa sama, terdapat beberapa kawasan lain yang berada pada Tahap 1 atau berjaga-jaga apabila suhu maksimum harian mencecah antara 35 hingga 37 darjah Celsius dalam tempoh sama.

“Ini menandakan keadaan panas sedang berlaku dan berpotensi meningkat sekiranya berterusan,” katanya.

Beliau berkata, data rasmi MetMalaysia menunjukkan terdapat kawasan yang mengalami tempoh kering melebihi beberapa hari hingga lebih seminggu sekali gus menyumbang kepada keadaan atmosfera yang lebih kering.

“Apabila hujan berkurangan, beberapa proses penting akan berlaku termasuk pengurangan litupan awan, penyejukan melalui hujan menjadi lemah serta kelembapan tanah menurun,” katanya.

Ricky berkata, dalam keadaan sedemikian, lebih banyak tenaga haba akan disimpan sebagai haba sensibel di permukaan bumi menyebabkan suhu meningkat secara berterusan.

“Ini bermakna peningkatan suhu yang kita alami kini adalah akibat daripada pengurangan mekanisme penyejukan semula jadi dalam sistem atmosfera dan permukaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa keadaan cuaca panas ini boleh memberi implikasi serius kepada masyarakat khususnya daripada segi kesihatan.

Katanya, risiko strok haba, dehidrasi dan keletihan haba meningkat terutama dalam kalangan warga emas, kanak-kanak serta individu yang bekerja di kawasan terbuka.

“Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mengehadkan aktiviti luar antara jam 11 pagi hingga 4 petang serta memastikan pengambilan air mencukupi walaupun tidak berasa haus.

“Selain itu, gunakan perlindungan seperti topi atau pakaian yang bersesuaian dan peka terhadap tanda awal tekanan haba seperti pening, keletihan melampau atau kekeliruan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan MetMalaysia mengeluarkan amaran cuaca panas tahap dua (gelombang haba) di Padang Terap, Kedah.

MetMalaysia turut memaklumkan terdapat 12 kawasan di Semenanjung Malaysia berada pada tahap satu (berjaga-jaga) membabitkan Perlis dan Kedah (Baling, Sik, Pendang, Pokok Sena, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda dan Bandar Baharu).

Amaran sama turut dikeluarkan bagi kawasan Timur Laut (Pulau Pinang), Hulu Perak (Perak) dan Rembau (Negeri Sembilan).

Menurut kenyataan itu, tahap gelombang haba ialah suhu maksimum harian 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top