210 kanak-kanak Iran maut sejak serangan AS-Israel

210 kanak-kanak Iran maut sejak serangan AS-Israel

Istanbul: Sekurang-kurangnya 210 kanak-kanak maut manakala 1,510 yang lain cedera di Iran sejak bermulanya serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel, kata menteri kesihatan negara itu pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita separa rasmi ISNA, Mohammad-Reza Zafarghandi berkata kira-kira 300 pusat kesihatan, perubatan dan kecemasan turut mengalami kerosakan sejak 28 Feb lepas.

Selain itu beliau menambah, kira-kira 30 ambulans rosak dan tidak dapat lagi digunakan.

Ketegangan serantau terus memuncak sejak AS dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Feb lepas, yang setakat ini mengorbankan lebih 1,300 orang, termasuk Pemimpin Agung ketika itu, Ali Khamenei.

Sementara itu, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Ahad memaklumkan sistem pertahanan udaranya sedang menangani “ancaman” peluru berpandu dan dron yang menyasarkan negara itu dari Iran susulan ketegangan serantau yang semakin memuncak, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Pertahanan memaklumkan letupan yang kedengaran di beberapa bahagian negara itu berpunca daripada operasi pintasan oleh sistem pertahanan udara negara berkenaan.

Tiada maklumat diberikan mengenai sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top