Nadhir Nasar Sambut Raya Sederhana, Lagu ‘Dendang Perantau’ Jadi Pilihan Hati – “Biasanya Setiap Tahun Beli Merc*n, Cuma Kali Ni…”

Nadhir Nasar Sambut Raya Sederhana, Lagu ‘Dendang Perantau’ Jadi Pilihan Hati – “Biasanya Setiap Tahun Beli Merc*n, Cuma Kali Ni…”

Pelakon, Nadhir Nasar mengakui lagu raya klasik tetap menjadi pilihan hatinya kerana mampu mengimbau kenangan serta membangkitkan nostalgia setiap kali Aidilfitri menjelma.

Nadhir atau nama penuhnya Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, 30, berkata, lagu lama seperti Dendang Perantau sentiasa dekat di hatinya, apatah lagi sering didengari sejak zaman belajar.

“Tiap kali dengar lagu klasik, memang terus teringat suasana raya dulu-dulu. Ia ada ‘feel’ yang sukar diganti,” katanya.

Dalam perkembangan sama, pelakon drama Projek: High Council itu memaklumkan Aidilfitri tahun ini disambut secara sederhana di Kuala Lumpur bersama keluarga tercinta.

Menurutnya, keputusan itu dibuat berikutan keadaan kesihatan bapanya yang kurang mengizinkan untuk perjalanan jauh ke kampung halaman di Kuala Kangsar.

“Tahun ini, Insya-Allah beraya di Kuala Lumpur. Biasanya setiap tahun saya akan beli mercun, tapi kali ini mungkin suasana lebih tenang.

“Ayah saya kurang sihat dan sudah lebih seminggu dirawat di wad. Saya juga ulang-alik untuk menjaganya.

“Alhamdulillah, keadaan dia semakin stabil. Doakan kesihatan ayah saya,” katanya.

Nadhir berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media iklan raya dan majlis berbuka puasa anjuran LOL Entertainment di Royal Chulan Damansara.

Mengulas lanjut mengenai pilihan lagu raya, Nadhir berkata Dendang Perantau nyanyian P. Ramlee kekal sebagai kegemarannya kerana nilai sentimental yang kuat.

“Lagu itu memang tak lapuk dek zaman. Setiap kali dengar, terus rasa suasana raya klasik.

“Kalau lagu raya moden pula, saya pilih lagu daripada De Fam,” katanya.

Scroll to Top