Perkembangan terkini perang di Asia Barat

Perkembangan terkini perang di Asia Barat

Israel perluas operasi darat di Lubnan

Tentera Israel akan memperluaskan operasi daratnya di Lubnan terhadap Hizbullah yang disokong Iran, kata ketua tenteranya sambil memberi amaran bahawa serangan itu ‘baru sahaja bermula’.

“Kami kini sedang bersedia untuk memajukan operasi darat yang disasarkan serta serangan mengikut pelan tersusun,” kata Leftenan Jeneral Eyal Zamir dalam satu kenyataan.

Perang dijangka berlarutan beberapa minggu lagi

Jurucakap tentera Israel, Brigedier Jeneral Effie Defrin berkata, negara itu berdepan ‘beberapa minggu’ lagi pertempuran menentang Iran dan Hizbullah dalam satu taklimat yang disiarkan di televisyen.

Serangan di Iraq

Tiga serangan menyasarkan kumpulan bersenjata pro-Iran yang berpengaruh di kubu kuatnya di selatan Baghdad, menurut pihak berkuasa Iraq.

Kumpulan itu merupakan bekas gabungan separa tentera dikenali sebagai Hashed al-Shaabi atau Pasukan Mobilisasi Popular (PMF). Ia adalah sebahagian daripada angkatan bersenjata rasmi Iraq, namun turut merangkumi beberapa kumpulan pro-Iran.

Serangan itu berlaku selepas satu serangan menyasarkan pusat diplomatik dan logistik Amerika Syarikat di Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad.

Israel siasat kematian orang awam

Tentera Israel memaklumkan sedang menyiasat sama ada tembakan sendiri menyebabkan kematian seorang orang awam Israel berhampiran sempadan Lubnan, di kawasan di mana Hizbullah mendakwa melancarkan serangan.

Pasukan kecemasan Israel sebelum ini melaporkan seorang lelaki maut akibat serangan tepat ke atas keretanya oleh roket dari Lubnan, menjadikannya kematian pertama di utara negara itu sejak pusingan terbaru pertempuran dengan Hizbullah bermula.

Namun, tentera Israel kemudian menyatakan ia sedang menjalankan siasatan menyeluruh, termasuk kemungkinan insiden itu melibatkan tembakan daripada anggota tentera Israel sendiri.

Serangan bakar di Tebing Barat

Penduduk Palestin berkata, peneroka Israel membakar bangunan dan kenderaan dalam serangan di beberapa kampung di Tebing Barat yang diduduki, dalam keganasan terbaharu susulan siri pembunuhan rakyat Palestin oleh warga Israel di kawasan itu sejak perang bermula.

‘Tingkatkan serangan untuk meredakan’

Amerika Syarikat mungkin perlu ‘meningkatkan’ serangan terhadap Iran bagi membolehkan perang ditamatkan, kata Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent.

“Kadang-kadang anda perlu meningkatkan untuk meredakan,” katanya kepada program “Meet the Press” NBC, selepas Presiden Donald Trump memberi isyarat bercanggah mengenai hala tuju kempen ketenteraan.

Lubnan kecam serangan Israel

Presiden Lubnan, Joseph Aoun mengecam serangan Israel ke atas jambatan dan infrastruktur lain di selatan negara itu, menyifatkannya sebagai petanda awal pencerobohan darat.

Menteri pertahanan Israel berkata, beliau mengarahkan jambatan di kawasan itu diserang selepas mendakwa ia digunakan oleh Hizbullah yang disokong Iran.

Iran ancam tutup Selat Hormuz

Jika Trump melaksanakan ancamannya untuk menyasarkan loji janakuasa Iran, Selat Hormuz akan ditutup sepenuhnya, menurut kenyataan Komando Operasi Tentera Iran, Khatam Al-Anbiya yang disiarkan di televisyen negara itu.

Ikrar seorang pengganas

Perdana Menteri negara haram Israel, Benjamin Netanyahu berikrar untuk memburu komander kanan Pengawal Revolusi Iran secara peribadi, ketika melawat sebuah bandar di Israel yang diserang peluru berpandu Iran sehari sebelumnya.

“Kami akan memburu rejim itu. Kami akan memburu IRGC, kumpulan penjenayah ini,” katanya ketika meninjau kerosakan di bandar Arad di selatan negara itu.

Amaran WHO

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa serangan berhampiran tapak nuklear di Iran dan Israel telah membawa perang di Asia Barat ke tahap yang berbahaya.

“Saya menggesa semua pihak supaya menunjukkan kawalan ketenteraan maksimum dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan insiden nuklear,” kata Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus di platform X.

Ancaman terhadap infrastruktur

Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf mengancam untuk memusnahkan infrastruktur penting di seluruh rantau itu, yang menurutnya akan menyebabkan harga minyak meningkat untuk tempoh yang lama, jika Amerika Syarikat dan Israel menyerang infrastruktur Iran.

“Infrastruktur penting termasuk tenaga dan minyak di seluruh rantau ini akan dianggap sebagai sasaran sah dan akan dimusnahkan sepenuhnya,” katanya dalam hantaran di media sosial.

Arab Saudi, UAE jadi sasaran

Kementerian Pertahanan Arab Saudi memaklumkan tiga peluru berpandu balistik dikesan berhampiran ibu negara Riyadh, manakala Emiriah Arab Bersatu berkata ia telah bertindak balas terhadap serangan peluru berpandu dan dron dari Iran. – AFP

Ringkasan AI

  • Israel perluas operasi darat di Lubnan terhadap Hizbullah yang disokong Iran
  • Perang dijangka berlarutan beberapa minggu lagi menurut tentera Israel
  • Tiga serangan menyasarkan kumpulan bersenjata pro-Iran di selatan Baghdad
  • Tentera Israel menyiasat kematian orang awam Israel berhampiran sempadan Lubnan
  • Amerika Syarikat mungkin perlu ‘meningkatkan’ serangan terhadap Iran bagi membolehkan perang ditamatkan
Scroll to Top