lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ibu bapa diingatkan supaya tidak meninggalkan anak di dalam kereta berikutan cuaca panas melanda negara ketika ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, situasi cuaca panas yang melanda negara kini memerlukan tahap kewaspadaan tinggi dalam kalangan masyarakat bagi mengelakkan risiko strok haba yang boleh membawa maut.
Beliau berkata, setakat tahun 2026, 15 kes berkaitan cuaca panas direkodkan termasuk satu kes kematian membabitkan kanak-kanak yang ditinggalkan dalam kenderaan.
“Cuaca panas melampau sekarang menuntut kita untuk lebih peka.
“Kes kematian itu sangat menyedihkan dan sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua.
“Paling penting, jangan sesekali tinggalkan anak-anak atau sesiapa sahaja di dalam kenderaan tanpa pengawasan walaupun untuk tempoh singkat,” katanya dalam hantaran di media sosial, hari ini.
Beliau berkata, strok haba tidak berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya mempunyai tanda awal yang boleh dikesan seperti pening berpanjangan, kehausan melampau serta peningkatan suhu badan.
Katanya, individu yang berdepan gejala berkenaan perlu segera mendapatkan rawatan selain mengambil langkah pencegahan seperti berada di tempat teduh, minum air secukupnya dan menyejukkan badan.
“Pencegahan awal adalah kunci. Masyarakat perlu lebih peka terhadap keadaan diri sendiri dan ahli keluarga, terutama golongan berisiko seperti bayi, kanak-kanak, warga emas serta pesakit kronik.
“Selain itu, individu yang aktif di luar ketika cuaca panas juga perlu mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mengurangkan aktiviti luar, memakai pakaian ringan serta memastikan tubuh sentiasa terhidrat,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai merujuk panduan yang dikongsikan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi meningkatkan kesedaran berhubung bahaya cuaca panas dan langkah pencegahan strok haba.
Terdahulu, media melaporkan daerah Padang Terap di Kedah kini berada pada Tahap 2 gelombang haba menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
MetMalaysia dalam kenyataannya memaklumkan sebanyak 10 kawasan lain di Semenanjung berada pada tahap 1 (berjaga-jaga) membabitkan seluruh negeri Perlis; selain Kubang Pasu, Pokok Sena, Sik, Pulau Langkawi, Kuala Muda, Pendang, Baling dan Bandar Baharu di Kedah; serta daerah Timur Laut di Pulau Pinang.
Menurut agensi itu, tahap berjaga-jaga merujuk kepada suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Tahap gelombang haba pula melibatkan suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah Celsius bagi tempoh yang sama.
- Orang ramai dinasihat kurangkan aktiviti luar rumah susulan cuaca panas di Kedah
- 3 kes strok haba, 1 budak maut akibat cuaca panas
- 15 kawasan di Semenanjung dalam status cuaca panas tahap 1 dan 2
© New Straits Times Press (M) Bhd




