Pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ng Lum Yong, mendakwa Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, sebagai menteri paling gagal sepanjang memegang portfolio Menteri Ekonomi dari Disember 2022 hingga Jun 2025.
Berdasarkan pemerhatiannya dalam tempoh hampir tiga tahun, Lum Yong mendakwa Rafizi gagal menunaikan janji manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selain tidak melaksanakan reformasi ekonomi yang diharapkan.

Beliau turut menegaskan bahawa pelbagai formula ekonomi yang diperkenalkan Rafizi tidak diterjemahkan kepada pelaksanaan yang berkesan.
“Formula beliau buat hanya sembang sahaja, hanya cakap besar. Rafizi seorang yang gagal, dan tak tunaikan apa yang dicakap. Beliau seorang yang hanya tahu hentam Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sekarang apabila sokongan tidak berpihak kepadanya, beliau banyak ‘bercakap’, sedangkan Perdana Menteri merangkap Presiden PKR hingga hari ini hanya berdiam tidak membuat kritikan balas kepada Rafizi,” kata Lum Yong dalam kenyataan pada Isnin.

Artikel lain: Rafizi Ramli kekal ahli PKR, dinasihat patuh perlembagaan & kod tata etika disiplin parti
Tambah Lum Yong, Rafizi tidak layak menjadi Menteri atau apa-apa jawatan politik kerana beliau bukan seorang ahli politik sebenar, sebaliknya hanya tahu cari makan untuk kepentingan diri sendiri.
“Rafizi seorang yang tidak jujur dan hanya untuk kepentingan diri sendiri. Beliau tidak layak menjadi pemimpin yang setia kepada rakyat. Kritikan Rafizi akan membawa kesan negatif kepada rakyat.
“Dahulunya hilang diri, sekarang beliau jadi alat yang tahu kritik Anwar,” katanya lagi.
Sumber: Sinar Harian




