Pemandu cemas kenderaan terjunam dalam Sungai Klang

Pemandu cemas kenderaan terjunam dalam Sungai Klang

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemandu pacuan empat roda berdepan detik cemas apabila kenderaan yang dipandunya terjunam ke dalam Sungai Klang berhampiran Jalan Munsyi Abdullah, di sini, pagi tadi.

Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur memaklumkan, pihaknya menerima laporan insiden pada 10.40 pagi.

Susulan itu, sepasukan anggota berserta Unit Perkhidmatan Rawatan Kecemasan (EMS) APM Daerah Kuala Lumpur digerakkan ke lokasi untuk operasi menyelamat.

“Sebaik pasukan tiba, mangsa sudah diselamatkan lebih awal oleh orang awam dan terus dibawa ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Hanya kenderaan mangsa yang didapati masih berada di dalam sungai dan kerja-kerja menaikkan dan membawa keluar kenderaan tersebut dari dalam sungai telah dilakukan menggunakan perkhidmatan kren awam,” katanya.

Setakat ini, status kecederaan pemandu belum didedahkan, manakala punca sebenar kenderaan terbabit hilang kawalan hingga terjunam ke dalam sungai masih dalam siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top