harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seorang pegawai kanan sebuah agensi penguatkuasaan disyaki meminta suapan RM50,000 ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, semalam.
Menurut sumber, suspek berusia 30-an meminta suapan itu daripada sebuah syarikat sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan atas kesalahan memiliki kenderaan tidak berdaftar.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu pada 23 Jun lalu dan meminta wang rasuah sebanyak RM50,000 untuk menutup kes syarikat terbabit.
“Bagaimanapun suspek bersetuju untuk menerima wang rasuah secara tunai sebanyak RM15,000 setelah diminta untuk mengurangkan bayaran,” katanya hari ini.
Menurutnya, perintah reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 2 Julai dikeluarkan Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam, pagi hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
© New Straits Times Press (M) Bhd




