mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pelakon Roy Azman ambil pendekatan berhati-hati dalam soal pemakanan selepas menjalani pembedahan membuang bisul pada awal Februari lalu.
Isterinya, Rafidah Mohd Razali berkata, luka selepas pembedahan sudah pulih sepenuhnya tetapi suaminya kini mula berpantang daripada mengambil minuman manis terutamanya semasa sambutan Aidilfitri seperti arahan doktor.
“Makan pun kalau di rumah gunakan beras basmati untuk beliau. Makanan manis memang abang Roy sudah tidak ambil seperti sebelum ini.
“Cuma sekarang situasi gula dalam badan beliau apabila sudah turun, beliau akan menggigil. Setakat ini semua okey kecuali apabila gula turun sahaja. Lain tidak ada masalah.
“Sekarang apabila gula turun saja, beliau pula nampak risau sebab menggigil dan kena makan. Abang Roy masih cuti dan akan masuk konti radio Sinar Khamis ini,” katanya kepada Harian Metro.
Ditanya mengenai sambutan Aidilfitri, Rafidah yang juga bekas anggota kumpulan Princess berkata, beliau baru tiba di Skudai Kiri, Johor Bahru pagi ini.
“Saya baru sampai Skudai dari Kuala Lumpur jam 6 pagi tadi. Abang Roy balik naik motosikal terlebih dahulu semalam.
“Hari ini juga kami akan bergerak balik ke Terengganu ke rumah adik-beradik abang Roy. Adiknya menjaga emak mereka sekarang. Emak pun tidak berapa sihat,” katanya.
Terdahulu, Roy dimasukkan ke sebuah pusat perubatan akibat jangkitan kuman di bahagian kelangkang.
Beliau sudah lama mengadu sakit di bahagian kelangkang kanan tetapi cuba bertahan daripada berjumpa doktor.
Beliau kemudiannya menjalani pembedahan dan dibenarkan keluar beberapa hari selepas itu dan seterusnya memulakan tugas sebagai penyampai radio.
© New Straits Times Press (M) Bhd




