Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) memilih untuk tidak mengemukakan manifesto bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebaliknya tampil dengan lima Aku Janji Khidmat yang disifatkan sebagai komitmen berterusan kepada rakyat, lapor Sinar Harian.
Pemimpin BERSAMA, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, keputusan itu dibuat memandangkan parti berkenaan hanya bertanding di 15 daripada keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus tidak meletakkan sasaran untuk membentuk kerajaan negeri.
Foto: Sinar Harian
Menurut beliau, pendekatan tersebut lebih menumpukan kepada peranan wakil rakyat sebagai suara rakyat dan mekanisme semak serta imbang terhadap pentadbiran negeri.
“Kami tidak menawarkan manifesto kerana kami bukan bertanding untuk membentuk kerajaan. Sebaliknya, kami menawarkan Aku Janji Khidmat yang akan dilaksanakan sama tanpa mengira keputusan pilihan raya.
“Matlamatnya ialah memastikan rakyat mempunyai wakil yang konsisten membawa suara mereka dan memantau setiap keputusan kerajaan negeri,” katanya pada sidang media Bersama di Taman Sri Tebrau, Johor Bahru hari ini.
Rafizi berkata, aku janji pertama memberi fokus kepada usaha memperluaskan saluran aduan rakyat melalui daftar bergerak yang diadakan setiap bulan serta platform digital bagi memudahkan orang ramai menyalurkan isu kepada pimpinan parti.
Beliau berkata, BERSAMA turut beriltizam menganjurkan forum awam, kempen dan petisyen supaya pelbagai isu membabitkan rakyat Johor terus diberi perhatian oleh pihak berkuasa.
“Aku janji kedua pula memberi penekanan kepada peranan pembangkang yang konstruktif dengan mengemukakan cadangan penyelesaian terhadap setiap isu yang dibangkitkan melalui kerjasama bersama jabatan dan agensi kerajaan.
“BERSAMA juga akan memperjuangkan hak pemilikan rumah, mempertahankan kampung tradisi daripada tekanan pembangunan serta menuntut penambahbaikan dasar perumahan supaya lebih ramai rakyat Johor mampu memiliki kediaman,” ujarnya.
Foto arkib: FB Rafizi Ramli
Selain itu, beliau berkata, parti itu turut komited memperjuangkan sistem pengangkutan awam bersepadu yang berasaskan bas sebagai pelengkap kepada pembangunan rangkaian transit massa di Johor Bahru.
“Pada masa sama, kami akan memperkukuhkan fungsi semak dan imbang dengan memantau prestasi kewangan kerajaan negeri, badan berkanun dan syarikat milik kerajaan bagi memastikan tiada ketirisan atau pembaziran wang rakyat.
“Ini adalah komitmen kami untuk menjadi pembangkang yang bertanggungjawab dan berkesan sepanjang penggal, bukan sekadar ketika musim pilihan raya,” katanya lagi.
Sumber: Sinar Harian (Nor Azura Md Amin)




