Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) membelanjakan hampir RM3 bilion bagi melaksanakan pelbagai program khusus untuk memperkasakan usahawan bumiputera sepanjang tempoh 2023 hingga 2025.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, keberkesanan perbelanjaan itu diukur menerusi beberapa indikator hasil, termasuk peningkatan jualan sekurang-kurangnya 20 peratus dalam kalangan peserta serta 150 syarikat yang berjaya meningkatkan saiz perniagaan mereka.
“Berhubung pulangan atau return of investment kerajaan, kementerian mengukur keberkesanan program pemerkasaan dan keseluruhan perbelanjaan daripada pelbagai outcome indicator atau hasil yang nyata terhadap peserta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Zaliha Mustafa berhubung peruntukan yang dibelanjakan KUSKOP bagi program pemerkasaan bumiputera serta pulangan kepada kerajaan yang diukur melalui penciptaan pekerjaan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Steven, bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, kementerian telah meluluskan pembiayaan bernilai RM5 bilion yang memanfaatkan hampir 180,000 usahawan daripada pelbagai kaum dan kategori perniagaan di seluruh negara.
Beliau berkata, bagi tempoh 2025 hingga Mei 2026 pula, program khusus untuk usahawan bumiputera menerusi agensi di bawah KUSKOP telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM1.407 bilion kepada lebih 53,000 usahawan bumiputera.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 11,469 belia bumiputera menerima manfaat dengan peruntukan melebihi RM251 juta,” katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, Steven berkata kementerian turut menerapkan elemen pembangunan industri halal menerusi pelbagai program di bawah agensinya bagi membantu usahawan mendapatkan pensijilan halal sekali gus memperluaskan pasaran perniagaan mereka.
Artikel lain: Hampir RM100 juta pembiayaan diluluskan! KUSKOP bantu 4,300 usahawan Melaka
Menjawab cadangan Mas Ermieyati Samsudin mengenai keperluan mewujudkan sistem pangkalan data nasional atau mekanisme single window bagi penyelarasan bantuan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), beliau berkata KUSKOP telah melantik SME Corp. Malaysia sebagai agensi penyelaras.
“SME Corp dijadikan pusat sehentian untuk menyelaraskan dari segi pembiayaan, geran, dana dan sistem sokongan yang lain. SME Corp juga berperanan memudahkan cara memberikan maklumat, menyalurkan pemohon dan PMKS ke agensi bersesuaian,”ujar beliau.
Beliau turut memaklumkan KUSKOP sedang melaksanakan inisiatif membangunkan sebuah laman sesawang yang berfungsi sebagai pusat sehentian bagi menyenaraikan pelbagai bentuk sokongan yang disediakan oleh lebih 60 agensi kerajaan kepada usahawan dan PMKS.
Sumber: BERNAMA




