Baitulmaqdis: Dentuman kuat menggegarkan ruang udara Baitulmaqdis awal pagi Selasa ketika tentera Israel mengerahkan pasukan mencari dan menyelamat ke sebuah bangunan yang rosak susulan dua gelombang serangan peluru berpandu Iran.
Pihak tentera Israel mengumumkan pelancaran serangan itu beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyatakan bahawa Washington mengadakan perbincangan dengan pegawai Iran yang tidak didedahkan identitinya – namun laporan itu dinafikan oleh Tehran.
Beberapa minit selepas amaran peluru berpandu kedua, wartawan AFP di Baitulmaqdis mendengar letupan besar, namun pihak tentera memaklumkan orang awam kini dibenarkan keluar dari kubu perlindungan.
Pegawai perubatan turut mengesahkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Rentetan pelancaran pertama, tentera memaklumkan mereka telah menghantar “pasukan mencari dan menyelamat untuk beroperasi di satu lokasi di utara Israel sebaik menerima laporan mengenai impak serangan.”
Perkhidmatan kecemasan Magen David Adom menyiarkan video memaparkan sebuah bangunan yang rosak, menunjukkan kesan hancur pada tingkat atas serta serpihan runtuhan yang bertaburan di atas tanah.
Pasukan medik berkata mereka memberi rawatan kepada seorang lelaki berusia 30-an yang mengalami kecederaan ringan akibat terpijak serpihan letupan, namun tiada laporan kecederaan lain diterima.
Pada Isnin, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata beliau telah berbual dengan Trump dan menyatakan bahawa Presiden AS itu percaya kejayaan ketenteraan AS-Israel di Iran mampu diterjemahkan kepada satu perjanjian rundingan bagi melindungi kepentingan Israel.
© New Straits Times Press (M) Bhd




