Ayda Jebat Ambil Langkah Berjaga-Jaga, Tunggu Balik Kampung Lepas Usia Anak Genap Setahun – “Datuk & Nenek Mereka Akan Datang KL Kalau Nak Jumpa”

Ayda Jebat Ambil Langkah Berjaga-Jaga, Tunggu Balik Kampung Lepas Usia Anak Genap Setahun – “Datuk & Nenek Mereka Akan Datang KL Kalau Nak Jumpa”

“Datuk dan nenek mereka kalau nak jumpa akan datang ke Kuala Lumpur”, demikian respons pelakon dan penyanyi, Ayda Jebat apabila dia dan suami, Nabil Mahir mengambil keputusan untuk tidak membawa bayi mereka yang baru dilahirkan pada Januari lalu untuk beraya di kampung.

Menurut pemilik nama lengkap, Nur Suhada Jebat, 33, dia dan suami memilih untuk tidak pulang ke kampung pada Aidilfitri tahun ini sebagai langkah berjaga-jaga daripada perkara-perkara yang tidak diingini.

“Kami tak beraya sangat sebab ada bayi, sekarang pula dengan keadaan virus dan sebagainya jadi kami ambil langkah berjaga-jaga.

“Kami beraya dengan keluarga saya dan keluarga Nabil, itu sahaja dan ada beberapa orang kawan rapat datang ke rumah. Jadi kami tak bawa anak keluar,” ulasnya.

Kata Ayda, sejak dari kelahiran cahaya mata sulung, dia dan suami mengambil pendekatan untuk membawa anak pulang ke kampung hanya selepas usia mereka mencecah setahun.

“Kami beraya di tempat yang kami kenal dan tahu sahaja. Anak saya kalau masih kecil, kami memang tidak akan pergi ke tempat-tempat seperti di kompleks beli-belah dan sebagainya.

“Kalau ikutkan anak saya selepas usia satu tahun baru saya balik ke kampung. Datuk dan nenek mereka kalau nak jumpa akan datang ke Kuala Lumpur.

“Jadi kami pun beraya di Kuala Lumpur, bila usia mereka sudah setahun baru kami bawa balik ke kampung,” katanya.

Berkongsi lanjut, pelantun lagu Temberang itu menjelaskan keputusan tersebut dibuat bagi memudahkan urusan mereka yang perlu membawa pelbagai keperluan bayi ketika perjalanan jauh.

“Sebenarnya bukan dari segi kesihatan sahaja tetapi, terlalu banyak barang-barang bayi kalau kami nak bawa..memang penuh kereta.

“Lagi-lagi Nabil, dengan nak bawa periuk nasi dan dia memang suka bawa semua benda sendiri. Sterilizer baby pun dia bawa,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Ayda bersyukur kerana keluarga mereka memahami situasi tersebut, malah, keluarganya dari Melaka juga akan datang berkunjung ke Kuala Lumpur bagi meraikan Aidilfitri bersama.

“Ya (keluarga memahami). Saya orang Melaka, Nabil dari Kuala Lumpur. Jadi keluarga saya di Melaka akan datang ke Kuala Lumpur dan beraya dengan kami,” jelasnya.

Untuk info, Nabil dan Ayda mendirikan rumah tangga pada 1 Januari 2021 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan cahaya mata iaitu Ana Nayla dan Aali Mateen sebelum kehadiran anak ketiga, Anggun Mikayla pada 26 Januari lalu.

Scroll to Top