Stor SMK Putrajaya Presint 14 (1) terbakar, Fadhlina umum bantuan RM100,000 disalurkan segera

Stor SMK Putrajaya Presint 14 (1) terbakar, Fadhlina umum bantuan RM100,000 disalurkan segera

Peruntukan awal berjumlah RM100,000 telah segera disalurkan bagi tujuan kerja-kerja pembersihan serta pemulihan susulan insiden kebakaran yang melibatkan stor dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 14 (1), Putrajaya, semalam.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan bahawa peruntukan berkenaan telah diarahkan untuk disalurkan kepada pihak sekolah selepas siasatan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat selesai, bagi membolehkan kerja pembersihan awal dilaksanakan dengan segera.

Bantuan RM100,000 disalurkan segera

“Bahagian Pengurusan Sekolah Harian juga akan mengadakan sesi psikososial bersama warga sekolah untuk mengingatkan tentang langkah-langkah keselamatan di sekolah,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa siasatan menyeluruh masih dijalankan oleh pihak bomba, namun langkah-langkah keselamatan bagi melindungi warga sekolah telah pun dilaksanakan sepenuhnya.

Fadhlina berkata beliau telah bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat mengenai kebakaran tersebut bagi meninjau keadaan semasa di sekolah berkenaan.

“Alhamdulillah, pasukan bomba telah selesai memadamkan kebakaran dan saya juga telah menerima taklimat daripada pihak bomba sepenuhnya,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan bomba dan pegawai penyiasat atas tindakan pantas serta kecekapan mereka dalam menangani insiden berkenaan.

“Terima kasih di atas kepantasan dan kecekapan pasukan bomba dan pegawai penyiasat yang berada di tempat kejadian.
“Semoga warga SMK Putrajaya P14 (1) terus tabah menghadapi ujian tersebut, serta menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan akan sentiasa memastikan aspek keselamatan warga sekolah kekal menjadi keutamaan,” tambahnya lagi.

Artikel lain: KPM sambut baik amanat PM Anwar, fokus tingkatkan kualiti pendidikan negara – Fadhlina Sidek

Dalam kejadian semalam, Jabatan Bomba dan Penyelamat mengesahkan menerima panggilan kecemasan pada jam 6.10 petang berkaitan kebakaran yang melibatkan kerusi dan meja di bahagian belakang pentas dewan sekolah berkenaan. Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan kerana sesi persekolahan telah pun berakhir ketika kejadian berlaku.

Sumber: Utusan Malaysia (Fatin Norizati Mat Isa)

Scroll to Top