London: Kapten Liverpool, Virgil van Dijk, menegaskan masalah konsisten pasukan perlu segera diatasi jika mahu memastikan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.
Liverpool meneruskan prestasi hambar apabila tewas 1-2 kepada Brighton & Hove Albion dalam aksi Liga Perdana Inggeris, sekali gus menamatkan bulan Mac tanpa sebarang kemenangan.
Keputusan itu lebih mengecewakan selepas mereka membelasah Galatasaray 4-0 dalam aksi pertengahan minggu.
“Sejak beberapa bulan lalu saya ulang perkara sama, kami gagal membina momentum daripada satu persembahan yang baik.
“Itu perlu berubah jika kami mahu capai sasaran kami, iaitu beraksi di Liga Juara-Juara,” kata Van Dijk.
Menurutnya, tanggungjawab itu terletak sepenuhnya kepada pemain untuk memperbaiki situasi semasa.
“Ia bergantung kepada kami sebagai satu pasukan. Jika kami dapat ubah perkara itu, kami boleh jadi pasukan yang sangat berbahaya, tetapi ketika ini kami belum berada di tahap tersebut,” katanya.
Skuad kendalian Arne Slot kini hanya memiliki kelebihan satu mata di depan Chelsea di tangga kelima, dengan Brentford dan Everton turut menghampiri.
Prestasi tidak menentu menjadi punca utama kemerosotan Liverpool musim ini apabila mereka sering mencatat kemenangan besar sebelum kembali tewas dalam perlawanan berikutnya.
Dalam tempoh tiga bulan terakhir, Liverpool mencatat kemenangan ke atas pasukan seperti Marseille, Newcastle United dan West Ham United, namun turut tewas kepada Bournemouth, Manchester City dan Wolves.
Sementara itu, masalah kecederaan turut menjejaskan pasukan apabila beberapa pemain utama seperti Mohamed Salah dan Alisson Becker terpaksa diketepikan.
Namun Van Dijk enggan menjadikan isu kecederaan sebagai alasan utama.
“Ia gabungan pelbagai faktor, tetapi hakikatnya kami masih gagal membina momentum daripada prestasi baik sebelum ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




