Tamil Nadu: Tiga doktor ditahan di Bengaluru pada Isnin selepas satu video menunjukkan mereka menunggang motosikal sambil meminum alkohol di jalan raya tular di media sosial.
Portal NDTV melaporkan video terbabit merakam tiga lelaki menunggang motosikal dalam keadaan trafik sesak dengan penunggang didakwa bergerak secara zig-zag di atas jalan.
Penumpang belakang pula dilihat memegang botol minuman keras dan meminumnya secara terbuka di khalayak ramai.
Susulan penularan video itu, polis membuka kertas siasatan dan mengenal pasti individu terbabit sebagai Dhanush S, Apoorva dan Avinash yang kesemuanya doktor ortopedik.
Menurut polis, Dhanush yang menunggang motosikal mempunyai kaitan dengan Sapthagiri Medical College di Chikkabanavara.
Sementara itu, Apoorva bertugas di Vydehi Hospital, manakala Avinash berkhidmat di Chamundeshwari Medical College di daerah Ramanagara, Karnataka.
Ketiga-tiga mereka dibawa ke Balai Polis Mico Layout pada Isnin untuk ditahan dan kemudian dibebaskan dengan jaminan.
Mereka berdepan beberapa pertuduhan termasuk menunggang tiga orang serentak, menunggang secara cuai, tidak memakai topi keledar serta meminum alkohol di tempat awam.
Seorang pegawai polis berkata, undang-undang negeri Karnataka tidak membenarkan pengambilan alkohol di tempat awam dan tindakan turut diambil di bawah peruntukan kesalahan trafik berkaitan.
Pihak berkuasa menyatakan perbuatan itu bukan sahaja melanggar undang-undang jalan raya, malah membahayakan keselamatan awam kerana cara tunggangan berbahaya di kawasan trafik aliran tinggi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




