am@hmetro.com.my
Sik: Kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun ditemukan lemas di Sungai Muda dekat Kampung Tanjung Jeneri, Jeniang, di sini hari ini.
Muhammad Fatah Saiful ditemui penduduk kampung di dasar sungai berkedalaman dua meter.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Safuan Md Noor berkata, pihaknya menerima maklumat penemuan mangsa pada 5.41 petang dan ibu mangsa memaklumkan mangsa sebelum itu keluar bermain dengan rakan bermula 2 petang.
Katanya, mangsa keluar dari rumah di Kampung Langguk dengan menunggang basikal.
“Pada 5 petang, ibu mangsa menerima panggilan telefon memaklumkan anaknya ditemui tidak sedarkan diri akibat lemas ketika mandi sungai.
“Hasil temubual dengan rakan mangsa yang berusia 10 tahun mendapati mereka mandi di sungai itu pada 4.30 petang dan mangsa dikatakan terjun ke dalam sungai sebelum tenggelam tidak lama kemudian.
“Ketika itu hanya mereka hanya berdua di situ,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Safuan berkata, rakan mangsa kemudian berlari mendapatkan bantuan penduduk kampung dan seorang daripada penduduk berjaya mencapai kaki mangsa di dasar sungai serta menariknya ke tebing.
Katanya, kematian mangsa disahkan petugas kesihatan yang hadir, manakala pemeriksaan ke atas tubuh kanak-kanak itu tidak menemui unsur jenayah.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Sik untuk tindakan selanjutnya dan kes diklasifikasikan mati mengejut,” katanya memaklumkan mangsa pertama kali mandi di lokasi itu walau tidak tahu berenang.
© New Straits Times Press (M) Bhd



