SEATTLE: Bosnia-Herzegovina menghidupkan peluang untuk mara lebih jauh dalam saingan Piala Dunia 2026 apabila menewaskan Qatar 3-1 dalam aksi Kumpulan B, semalam.
Kemenangan itu bukan sahaja memastikan impian Bosnia terus bernyala, malah menamatkan harapan Qatar untuk meneruskan saingan dalam kejohanan berprestij tersebut.
Lebih manis, kejayaan itu hadir pada hari bersejarah buat kapten Bosnia, Edin Dzeko yang membuat penampilan ke-150 bersama skuad kebangsaan.
Bosnia menguasai permainan sejak wisel permulaan dan berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-29 menerusi jaringan menarik Kerim Alajbegovic.
Pemain muda itu mempamerkan aksi individu memukau apabila melepasi beberapa pertahanan sebelum melepaskan rembatan kaki kanan yang menerjah penjuru atas gawang Qatar.
Bosnia kemudian menggandakan kelebihan tidak lama selepas itu hasil gol sendiri pemain Qatar, Sultan Al-Brake pada minit ke-34.
Gol tersebut berpunca daripada hantaran lintang Sead Kolasinac ke arah Dzeko di tiang jauh sebelum penyerang berpengalaman itu menolak bola kembali ke hadapan gol. Percubaan tersebut terkena Al-Brake dan melantun masuk ke dalam gawang.

Qatar yang banyak bertahan sepanjang babak pertama berjaya merapatkan kedudukan beberapa minit sebelum rehat menerusi Hassan Al Haydos yang mudah menyempurnakan peluang dari jarak dekat.
Bagaimanapun, Bosnia terus mengawal permainan pada separuh masa kedua dan memastikan tiga mata menjadi milik mereka apabila Ermin Mahmic meledak gol ketiga pada minit ke-80.

Keputusan itu meletakkan Bosnia hampir pasti melangkah ke pusingan kalah mati sebagai antara lapan pasukan tempat ketiga terbaik, manakala Qatar terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada kejohanan. – AGENSI




