Presiden Filipina isytihar darurat tenaga susulan risiko konflik Asia Barat

Presiden Filipina isytihar darurat tenaga susulan risiko konflik Asia Barat

KUALA LUMPUR – Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr pada Selasa mengisytiharkan darurat tenaga nasional sebagai tindak balas terhadap konflik di Asia Barat serta apa yang disifatkannya sebagai “bahaya yang bakal tiba” terhadap bekalan tenaga negara itu.

Marcos berkata, sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan bagi memastikan kelancaran pergerakan, bekalan, pengedaran, serta ketersediaan bahan api, makanan, ubat-ubatan, produk pertanian dan barangan keperluan asas yang lain.

Reuters melaporkan dalam satu perintah eksekutif yang dikongsikan kepada media, Marcos berkata, konflik itu telah mencetuskan ketidaktentuan dalam pasaran tenaga global, gangguan rantaian bekalan yang teruk, serta turun naik harga minyak antarabangsa yang ketara dan mengancam keterjaminan tenaga negara.

“Pengisytiharan darurat tenaga nasional ini akan membolehkan kerajaan melaksanakan langkah-langkah penyelarasan yang responsif di bawah undang-undang sedia ada bagi menangani risiko yang dicetuskan oleh gangguan bekalan tenaga global dan ekonomi domestik,” katanya.

Pengisytiharan itu, yang akan berkuat kuasa selama setahun, memberi kuasa kepada kerajaan untuk memperoleh bahan api dan produk petroleum yang diperlukan bagi memastikan bekalan mencukupi serta tepat pada masanya, malah jika perlu, membayar sebahagian daripada jumlah kontrak lebih awal.

Setiausaha Tenaga Filipina, Sharon Garin pada awal Selasa memberitahu satu taklimat media bahawa negara itu mempunyai kira-kira 45 hari bekalan bahan api berdasarkan tahap penggunaan semasa, menurut laporan itu.

Beliau berkata, kerajaan sedang berusaha untuk memperoleh satu juta tong minyak dari negara-negara di dalam dan di luar Asia Tenggara untuk membina stok simpanan penimbalnya. – Reuters

 

 

 

Ringkasan AI

  • Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr mengisytiharkan darurat tenaga nasional akibat konflik di Asia Barat dan risiko bekalan tenaga
  • Jawatankuasa ditubuhkan untuk memastikan kelancaran bekalan bahan api, makanan, ubat-ubatan dan barangan keperluan
  • Perintah eksekutif menyatakan gangguan pasaran tenaga global, rantaian bekalan, dan turun naik harga minyak mengancam keterjaminan tenaga
  • Pengisytiharan membolehkan kerajaan memperoleh bahan api dan produk petroleum, serta membayar sebahagian daripada jumlah kontrak lebih awal
  • Filipina mempunyai kira-kira 45 hari bekalan bahan api dan berusaha memperoleh satu juta tong minyak untuk stok simpanan penimbal
Scroll to Top