New York: Bagi ramai peminat bola sepak, ia mungkin pekerjaan terbaik di dunia.
Austin Franklin dan Kevin Akoto, dua lelaki Amerika Syarikat yang dibayar AS$50,000 (RM212,500) untuk menonton kesemua 104 perlawanan Piala Dunia dalam tempoh 39 hari, menganggap tugas itu sebagai kerja impian.
Franklin, 29, dan Akoto, 26, menjalankan tugas mereka di sebuah studio berkaca sementara di tengah-tengah Times Square, Manhattan dengan peminat yang lalu-lalang berhenti untuk menyaksikan aksi di dua televisyen bersaiz 85 inci.
Akoto sanggup berhenti kerja dan berpisah dengan pasangannya semata-mata untuk menerima jawatan “ketua penonton Piala Dunia”, yang diwujudkan bagi memeriahkan kejohanan yang berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
“Majikan saya menerimanya dengan baik, tetapi individu seorang lagi tidak begitu. Tidak mengapa,” katanya sambil berseloroh.
Menurut Akoto yang berasal dari Florida, tidak semua perlawanan menarik perhatian, namun aksi-aksi hebat tetap membuatkan pengalaman itu cukup berbaloi.
Mereka dibayar oleh Fox, salah satu penyiar rasmi kejohanan, selepas dipilih daripada ribuan peminat yang menghantar video permohonan.
Studio berbentuk segi empat itu turut dilengkapi meja bola sepak mini, kerusi tinggi, permaidani rumput tiruan serta dihiasi skarf pelbagai negara peserta.
Antara pengalaman paling diingati ialah apabila ratusan penyokong Brazil memenuhi ruang di hadapan studio mereka, malah seorang wanita melemparkan kasut ke arah bilik kaca berkenaan.
“Penyokong Brazil memang luar biasa. Mereka ceria dan membawa suasana yang menyeronokkan. Ia kenangan yang akan saya ingat sepanjang hayat,” kata Franklin yang berasal dari Massachusetts.
Akoto yang memakai topi Portugal ketika perlawanan menentang Uzbekistan turut membawa set Lego Cristiano Ronaldo bertulis “CR7”.
“Ronaldo akhirnya berjaya menjaringkan gol, satu penyudah yang hebat,” katanya ketika bintang Portugal itu menjaringkan dua gol dalam kemenangan 5-0.
Walaupun jadual menonton sangat padat, mereka mengakui masih seronok bekerja bersama.
“Saya seorang yang agak negatif. Jadi seronok ada seseorang yang positif dan membawa tenaga berbeza,” kata Akoto mengenai rakan baharunya itu.
Bagi mengisi masa ketika rehat minum, semakan VAR atau waktu rehat separuh masa, studio mereka dilengkapi permainan kuiz bola sepak dan kad Uno.
Franklin pula tidak sabar menantikan penghujung saingan peringkat kumpulan apabila dua perlawanan berlangsung serentak.
“Saya sangat teruja untuk menonton dua perlawanan pada masa yang sama,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




