Faizal Hussein sokong minat anak ceburi bidang seni

Faizal Hussein sokong minat anak ceburi bidang seni

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Pelakon berkaliber, Faizal Hussein, 58, mengakui dia tidak menghalang dua anaknya, Fazryn, 20, dan Fazrick, 17, menceburi bidang seni sekali gus meneruskan legasi keluarganya.

Faizal atau nama sebenarnya, Mohd Faizal Hussein berkata, buat masa ini, dia juga dalam fasa membantu dua anaknya itu membuat persediaan kerja di depan kamera dan belakang tabir sebelum mereka melangkah dalam bidang seni.

“Saya dan isteri memang menyokong dua anak untuk ceburi bidang seni. Kami juga sudah nampak minat mereka ke arah mana.

“Fazryn minat dalam bidang ‘modelling’ (peragaan) dan Fazrick juga sudah nampak minat ke arah mana kerana sering mengikut saya ke acara dan program hiburan.

“Saya percaya lambat laun, mereka berdua akan menceburi bidang lakonan juga satu hari nanti,” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas lanjut, kata pelakon siri Walid itu, dia dan isteri juga mendedahkan dua anak mereka mengenai kerjaya sebenar sebagai pelakon termasuk kerja belakang tabir penggambaran.

“Saya mahu anak-anak mengetahui bagaimana kerjaya bapa mereka sebagai pelakon di set penggambaran.

“Contohnya, bagaimana sesi fotografi dilakukan, kerja alih suara dan proses ‘dubbing’, berlakon dalam studio, berlakon di lokasi panas di luar dan sebagainya,”katanya.

Ditanya mengenai Fazryn lagi, kata Faizal, dia mahu anak sulungnya itu mencuba semua cabang seni sedia ada.

“Fazryn kini menuntut dalam jurusan Masscomm dan akan menjalani latihan praktikal di TV3.

“Saya nampak buat masa ini, minat dia dalam bidang ‘modelling’ kerana dia memang sudah menjadi model ‘catwalk’ untuk jenama ‘streetwear’ di media sosial.

“Tapi, saya juga mahu dia cuba semua cabang seni sama ada depan kamera seperti mengacara atau di belakang kamera,” katanya.

Untuk rekod, Faizal berkahwin dengan pelakon drama, Suhaila Sulaiman pada 2004. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Fazryn dan Fazrick.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top