Kemarau, cuaca panas melampau jejas hasil padi, pesawah tiada pilihan

Kemarau, cuaca panas melampau jejas hasil padi, pesawah tiada pilihan

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Kemarau dan cuaca panas melampau ketika ini bukan sahaja menjejaskan bekalan air, malah turut memberi kesan langsung kepada hasil padi yang dijangka merosot sehingga 30 peratus.

Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, keadaan itu berlaku apabila suhu terlalu tinggi sehingga mengganggu proses penting dalam pembentukan hasil padi.

Katanya, suhu ekstrem terutama melebihi 40 darjah Celsius boleh menjejaskan proses pendebungaan sehingga menyebabkan pengisian padi tidak sempurna.

“Kalau suhu sekitar 37 hingga 38 darjah Celsius, padi masih mampu bertahan.

“Tetapi bila mencecah 40 hingga 41 darjah Celsius, ia mula ganggu pendebungaan isi padi tidak akan penuh sekali gus menghasilkan padi ringan atau padi hampa dan hasil boleh jatuh antara 20 hingga 30 peratus,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Dr Ismail berkata, kesan cuaca panas melampau turut memberi impak kepada kesuburan tanah yang menjadi semakin keras.

Katanya, dalam masa sama, kemarau turut memberi kesan besar kepada bekalan air apabila sumber utama seperti hujan dan simpanan empangan semakin berkurangan.

“Ketika ini paras takungan di Empangan Muda berada pada tahap rendah iaitu 8.28 peratus berikutan ketiadaan hujan di kawasan tadahan dan ini perlu diberi perhatian serius.

“Bila kemarau, air hujan tiada, air empangan pun berkurangan dan ini memberi kesan langsung kepada bekalan air untuk pengairan padi,” katanya.

Beliau berkata bekalan air yang ada ketika ini hanya mencukupi untuk dilepaskan ke Loji Rawatan Air (LRA) bagi kegunaan domestik dan industri.

Katanya, keadaan itu menyebabkan pihaknya tidak dapat menyalurkan air ke kawasan sawah seperti biasa.

Susulan itu, Dr Ismail berkata pesawah berkemungkinan terpaksa menggunakan kaedah tabur terus kering (TTK) untuk meneruskan penanaman musim satu 2026 yang dijangka April ini.

Katanya, kaedah itu dilakukan dengan membajak tanah, menabur benih padi dan memadatkan tanah sebelum menunggu hujan atau embun untuk percambahan.

“Kaedah ini bergantung sepenuhnya kepada hujan dan embun, tetapi ia turut menyebabkan pertumbuhan padi bercampur dengan rumpai dan padi angin.

“Selain padi angin, kaedah ini juga meningkatkan risiko serangan perosak seperti tikus serta penyakit tanaman,” katanya.

Beliau berkata, walaupun kaedah itu bukan pilihan terbaik, ia terpaksa dilaksanakan kerana tiada alternatif lain dalam keadaan bekalan air yang terhad.

Katanya, situasi sama pernah berlaku sebelum ini sekitar tahun 2017 hingga 2020 dan hasil padi ketika itu juga didapati lebih rendah berbanding biasa.

“Memang hasil akan rendah, tetapi kita tiada pilihan kerana tidak boleh tunggu tanpa menanam.

“Namun sekiranya hujan dan paras empangan kembali pulih, MADA akan lepaskan air untuk pertanian seperti biasa,” katanya.

Dr Ismail berkata pelbagai usaha sudah dilakukan termasuk operasi pembenihan awan pada Februari lalu namun belum berjaya menghasilkan hujan yang mencukupi terutama di kawasan tadahan.

Selain itu, katanya MADA bersama penduduk setempat turut mengadakan solat sunat Istisqa sebagai usaha memohon hujan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top