Malaysia negara ke-13 paling aman dunia, kedua di Asia Tenggara

Malaysia negara ke-13 paling aman dunia, kedua di Asia Tenggara

fadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia menduduki tangga ke-13 sebagai negara paling aman di dunia dan kedua di Asia Tenggara berdasarkan Indeks Keamanan Global (GPI) 2025.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, kedudukan Malaysia melonjak empat anak tangga berbanding tahun sebelumnya berikutan kejayaan menurun jenayah indeks sebanyak 6.4 peratus.

“Saya yakin kejayaan ini didorong oleh usaha bersepadu Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui agensi-agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Walaupun terdapat beberapa insiden serta kejadian yang mencetuskan kejutan sepanjang tempoh kajian Mac 2025 hingga Mac 2026, namun tahap keselamatan di bumi bertuah ini pada umumnya masih berada dalam keadaan baik dan terkawal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-219 Tahun 2026 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur di sini, hari ini, yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PDRM berdepan era mencabar di mana ancaman hadir dari pelbagai sudut dan dalam macam-macam bentuk.

Katanya, insiden serangan Balai Polis Ulu Tiram menjadi contoh bahawa wujud individu atau pihak yang berani mencabar undang-undang negara.

Justeru katanya peruntukan RM 12.06 bilion diperuntukkan buat PDRM penting bagi menangani ancaman keselamatan yang semakin kompleks serta usaha penambahbaikan infrastruktur supaya lebih progresif.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top