zanariah_mutalib@bh.com.my
Kuala Lumpur: Hanya 10 kategori yang layak memohon Permit Khas daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi pengisian minyak petrol dan diesel untuk kuantiti 20 liter ke atas setakat ini.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, kategori berkenaan, termasuk forklift, pengangkutan air, penduduk di kawasan pedalaman dan pulau, pengusaha industri makanan, rekreasi air, pertanian dan penternakan, bantuan kecemasan, penyelenggaraan, pelancongan dan pembinaan berskala kecil.
Azman berkata, pembelian menggunakan Permit Khas itu adalah untuk kuantiti 20 liter ke atas saja dan berdasarkan kepada harga pam semasa di stesen minyak.
Beliau menegaskan, mana-mana syarikat, organisasi atau individu yang ingin membeli petrol dan diesel di stesen minyak untuk kegunaan selain tangki asal kenderaan dan bagi tujuan kegunaan persendirian perlu memohon serta mendapat kelulusan Permit Khas di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.
Ia bagi mengelakkan barang kawalan dan bersubsidi, seperti petrol dan diesel diseleweng pihak tidak bertanggungjawab.
“Bagi tujuan permohonan Permit Khas, ia boleh dilaksanakan melalui Sistem Permit Bekalan secara dalam talian menerusi portal https://spb.kpdn.gov.my. Permit Khas ini adalah percuma dan terbuka kepada semua pihak yang berkelayakan.
“Mana-mana pihak yang diberi kebenaran untuk membeli minyak petrol dan diesel melalui Permit Khas ini boleh menggunakan tong dram, plastik atau apa-apa bekas yang selamat dan bersesuaian mengikut kuantiti, alamat stesen minyak, tempoh serta kekerapan belian yang diluluskan.
“Tiada pihak selain pemegang Permit Khas dibenarkan untuk membeli minyak di dalam tong di stesen minyak kecuali untuk kes kecemasan saja dan kuantiti dibenarkan adalah di bawah 20 liter saja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial, video seorang individu mengisi petrol RON95 membabitkan kuantiti banyak ke dalam tong plastik di but sebuah kenderaan.
KPDN Johor dilapor sedang mengesan dan akan memanggil individu berkenaan, yang dipercayai melakukan perbuatan itu di sebuah stesen minyak di Skudai.
Azman berkata, di bawah AKB 1961, setiap stesen minyak yang berurus niaga minyak petrol dan diesel dibenarkan menjual bahan api diesel dan semua gred petrol kepada tangki asal kenderaan berkenaan atau yang sudah diluluskan agensi berkaitan, selain yang mendapat kebenaran Permit Khas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




