Changchun: Sekumpulan tujuh ekor anjing di timur laut China mencuri perhatian selepas berjaya meloloskan diri daripada pencuri sebelum meredah perjalanan jauh sejauh 17 kilometer (KM) untuk pulang ke rumah, lapor South China Morning Post.
Kejadian pada 16 Mac lalu itu tular apabila seorang saksi dikenali sebagai Lu, merakam kepintaran kumpulan anjing berkenaan berjalan beriringan di lebuh raya sibuk di bandar itu yang terletak di wilayah Jilin.
Rakaman video menunjukkan kumpulan haiwan itu. seolah-olah saling melindungi antara satu sama lain termasuk menjaga seekor anjing baka German Shepherd yang cedera manakala seekor anjing baka Corgi di hadapan kerap menoleh ke belakang seakan memastikan ‘rakannya’ berada dalam keadaan selamat.
Kumpulan yang terdiri daripada pelbagai baka termasuk Golden Retriever, Labrador dan Pekinese itu bergerak secara tersusun seperti sebuah keluarga yang sedang berdepan situasi cemas.
Saksi cuba membawa kesemua haiwan itu ke tempat lebih selamat namun tidak diendahkan sebelum dia bertindak memuat naik video berkenaan di aplikasi Douyin bagi meminta bantuan pihak berkuasa tempatan.
Sementara itu, Pusat Perlindungan Anjing Jalanan Bitter Coffee memaklumkan bahawa semua anjing berkenaan berasal dari kampung yang sama dan sudah membentuk ikatan persahabatan yang kuat sejak sekian lama.
Seorang sukarelawan mendakwa haiwan terbabit dipercayai dicuri oleh individu yang mengendalikan kedai daging anjing dan berkemungkinan berjaya meloloskan diri daripada trak yang membawa mereka.
Pihak pusat perlindungan kemudiannya menghantar beberapa sukarelawan serta menggunakan teknologi dron untuk menjejaki dan memastikan semua haiwan berkenaan dapat pulang ke rumah dengan selamat.
Pada 19 Mac, kesemua tujuh ekor anjing itu disahkan selamat Kembali ke pangkuan pemilik masing-masing yang terdiri daripada tiga isi rumah berbeza selepas dilaporkan hilang sebelum ini.
Lokasi lebuh raya di mana haiwan itu dikesan terletak kira-kira 17 km dari kampung mereka, sekali gus membuktikan kemampuan luar biasa anjing berkenaan untuk mencari jalan pulang.
Seorang pemilik melahirkan rasa syukur kerana anjing baka German Shepherd dan Golden Retriever miliknya pulang dengan selamat dan tidak berakhir di meja makan di kedai daging.
Kisah perjalanan luar biasa ini mendapat tontonan melebihi 230 juta di media sosial selain mencetuskan desakan orang ramai supaya undang-undang perlindungan haiwan di China diperkukuh.
© New Straits Times Press (M) Bhd




